Esok Kerajaan Persekutuan putuskan sama ada rayu keputusan tuntutan 40% hak Sabah – PM

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan membuat keputusan esok sama ada akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, yang Putrajaya bertindak secara tidak sah kerana gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan selama hampir lima dekad.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mesyuarat khas Jemaah Menteri akan diadakan esok, lapor Bernama.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS), salah satu parti utama dalam kerajaan, serta beberapa pihak lain menggesa Putrajaya tidak merayu terhadap keputusan itu, sebaliknya mengadakan rundingan konstruktif berhubung perkara tersebut.

Majlis Presiden GRS berkata pihaknya bersedia untuk mengadakan rundingan bermakna dengan Putrajaya selaras dengan arahan mahkamah untuk meneliti semula dan memuktamadkan perjanjian baharu mengenai bahagian 40 peratus hasil Persekutuan.

Ia berkata Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu tidak mengenakan sebarang penalti kewangan terhadap kerajaan persekutuan, sebaliknya hanya mengarahkan supaya semakan perlembagaan yang tertunggak sekian lama itu dilaksanakan.

Isu tersebut telah membawa kepada peletakan jawatan presiden Upko Datuk Ewon Benedick, sebagai menteri pembangunan usahawan dan koperasi, susulan pendirian yang diambil oleh Jabatan Peguam Negara berhubung bahagian 40 peratus hasil Persekutuan itu.

Anwar berkata rombakan Kabinet tidak berada dalam agenda mesyuarat esok.

Namun begitu, rombakan dilihat berkemungkinan berlaku memandangkan peletakan jawatan Ewon serta tamatnya tempoh senator Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, pada 2 Disember ini.

Kabinet turut mempunyai dua kekosongan jawatan susulan peletakan jawatan menteri ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli dan menteri sumber asli dan kelestarian alam Nik Nazmi Nik Ahmad pada 28 Mei lalu.

Tugas mereka kini dipangku oleh Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan dan Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Ghani.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata Kerajaan Persekutuan kekal fokus dan konsisten dalam membangunkan Sabah serta memperkukuh ekonominya.

Beliau berkata komitmen itu dizahirkan melalui pelbagai projek dan pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan negeri pimpinan GRS.

“Kita tidak sempurna tetapi akan sentiasa mendengar suara rakyat dan memahami kebimbangan mereka.

“Kita akan berusaha keras memperbaiki kelemahan demi memastikan masa depan yang lebih baik untuk semua,” katanya di Facebook.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat