KUALA LUMPUR- PKR memerlukan sokongan yang lebih kuat daripada rakyat Sabah sendiri untuk memastikan perjuangan menegakkan hak Sabah benar-benar tertunai.
Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata, dahulu ada parti yang lantang melaungkan slogan “Sabah Ubah” sepanjang 26 bulan memerintah.
Tapi sayangnya katanya, rakyat tidak merasai sebarang perubahan.
Bahkan kata Izzah, rizab kewangan negeri menurun, ekonomi merosot hampir 10 peratus, dan janji untuk menyelesaikan krisis air dalam tempoh setahun juga gagal ditunaikan.
“Semua itu hanyalah janji kosong dan retorik politik semata-mata.
“Kali ini, kita pastikan kemajuan benar-benar sampai kepada setiap lapisan rakyat, Insya-Allah.
“Kami percaya bahawa Sabah berhak menerima yang terbaik sebagai sebuah negeri yang bermaruah dan berdaulat. Dengan semangat itu, kami akan terus berusaha sedaya upaya, demi kemajuan Negeri di Bawah Bayu.
“Inilah komitmen PKR untuk Sabah – komitmen yang dibuktikan melalui kerja dan kesungguhan, bukan sekadar kata-kata.
“Bak kata pepatah orang Kadazan, “Osusa Toi Asanang Tomoimo Miiso” – “Susah atau senang, suka atau duka, kita tetap bersama,” kata anak Perdana Menteri itu dalam kenyataan media bertajuk “𝐌𝐞𝐧𝐞𝐫𝐮𝐬𝐤𝐚𝐧 𝐇𝐚𝐫𝐚𝐩𝐚𝐧 𝐔𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐒𝐚𝐛𝐚𝐡” di Facebook beliau.
Kata Izzah lagi, “I know this is going to be a hard battle ahead but this is exactly why we must keep going”.
“Hasil perbincangan bersama rakan-rakan seperjuangan, kami telah diberi amanah untuk bertanding di 10 kerusi bagi memastikan segala usaha memperjuangkan kepentingan Sabah dapat dilaksanakan.
“Sepertimana amanat yang disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim , kami akan terus berusaha dengan penuh keazaman untuk bekerja dan mendengar suara rakyat di Sabah.
“Sejak Kerajaan Madani mengambil alih pentadbiran pada tahun 2022, usaha untuk memperjuangkan pelaksanaan MA63 telah pun dipertingkat, dipercepat dan digerakkan dengan lebih serius.
“Dalam tempoh 3 tahun, Kerajaan Madani telah berjaya menyelesaikan 9 tuntutan utama , sesuatu yang gagal direalisasikan oleh pentadbiran sebelum ini.
“Langkah-langkah yang sebelum ini tidak pernah diambil, kini telah pun dilaksanakan,” ujar beliau.
Namun menurut Izzah, usaha ini belum selesai , kerajaan baru tiba ke pertengahan jalan.
“Jangan patahkan usaha ini. Jangan biarkan perjuangan ini terhenti separuh jalan.
“Jika Kerajaan Madanj tidak lagi diberi amanah untuk meneruskan perjuangan demi kepentingan Sabah, segala usaha yang telah dibina selama 3 tahun ini, akan kembali ke titik permulaan,” tegas beliau.



