Kadar Kebolehjangkitan Covid Boleh Diturunkan Jika Patuh SOP

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Kadar kebolehjangkitan Covid-19 negara boleh diturunkan kepada 0.5 dalam tempoh dua minggu lagi sekiranya tindakan kesihatan awam serta kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) diperkukuhkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jika kadar kebolehjangkitan itu berjaya diturunkan, kes harian Covid-19 negara akan semakin berkurangan dalam tempoh terdekat.

“Dalam tempoh tiga minggu kita berperang dengan Covid-19, kita menunjukkan hasil yang baik iaitu menurunkan kadar kebolehjangkitan dari 2.2 hingga kurang daripada satu.

“Kita berharap dalam tempoh dua minggu lagi, sekiranya tindakan kesihatan awam diperkukuhkan mungkin boleh diturunkan kadar kebolehjangkitan dari satu kepada 0.5,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata, tindakan kesihatan awam adalah satu kaedah yang menunjukkan kejayaan bagi penularan penyakit berjangkit seperti Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dan Sindrom Pernafasan Virus Korona Asia Barat (MERS-CoV) yang tidak mempunyai vaksin.

“Yang penting perlu kerjasama semua pihak putuskan rantaian termasuk duduk di rumah dan jika terpaksa keluar, pastikan untuk mematuhi SOP.

“Kepatuhan SOP penting untuk memutuskan rantaian jangkitan selain tidak memberi peluang kepada virus tersebut merebak,” katanya.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, susulan musim sejuk yang dijangkakan kes Covid-19 meningkat, turut dibimbangkan ialah berlaku mutasi jangkitan berikutan terdapat laporan di Denmark pada haiwan mink.

“Kesannya tidak tahu lagi tetapi kita bimbang kalau mutasi berlaku, mungkin jangkitan semula terhadap mereka yang telah dijangkiti boleh dijangkiti semula selain, sama ada kesan kepada vaksin yang dibangunkan setakat ini,” katanya. – Kosmo

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat