Keluarga Harap Bantuan Orang Ramai Bawa Pulang Rozzana Untuk Rawatan Di Malaysia

- Advertisement -

PENGERANG – “Saya sekeluarga berharap dapat membawa pulang adik ke Malaysia kerana mahu dia dirawat di sini dan apa pun berlaku, biarlah di depan mata kami,” luah Nur Diana Abdul Rahim Lee.

Nur Diana, 46 yang menetap di Taman Bayu Damai, di sini memberi reaksi itu ketika diminta berkongsi perkembangan terkini adik tirinya, Rozzana Mat Nanyan, 35 yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Myongji, Korea Selatan akibat serangan asma pada 2 Oktober lalu.

Menurut Nur Diana, Rozzana tidak sedarkan diri kerana diintubasi (ditidurkan) bagi mengelak serangan sawan sejak hari pertama dimasukkan ke wad hingga kini.

“Kami sekeluarga tahu dia (Rozzana) dimasukkan ke hospital selepas rakan serumahnya di Korea Selatan menghubungi adik bongsu (Nurul Hasila, 25).

“Terkejut juga kerana sehari sebelum itu, Rozzana ada menghantar kiriman mesej dalam kumpulan WhatsApp keluarga menyatakan kesyukuran selepas mendapat tahu emak (Kalsom Suleiman, 66) dibenarkan keluar daripada Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru selepas diserang angin ahmar ringan.

“Kiranya, kami semua tahu mengenai Rozzana kecuali emak kerana tidak mahu emosinya terganggu memikirkan keadaan adik di sana (Korea Selatan),” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bercerita lanjut, Nur Diana berkata, selain ditidurkan, dia sekeluarga dimaklumkan doktor sudah melakukan pemeriksaan menerusi ujian ujian imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) bagi mengenal pasti komplikasi yang ada.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati ada ketumbuhan pada paru-paru tetapi belum ada rawatan susulan diberikan.

Katanya, keluarga juga belum mendapat maklumat sama ada Rozzana positif Covid-19 atau sebaliknya.

“Rozzana masih bujang, menetap di sana sejak empat tahun lalu dan bekerja sebagai operator kilang pembuatan kalendar dan buku di Incheon, Seoul.

“Kami sekeluarga tahu dia menghidap asma dan bergantung dengan inhaler tetapi sebelum ini penyakitnya tidak serius walaupun pernah dimasukkan ke sebuah hospital di Malaysia sebelum ini.

“Apa yang merisaukan, dia berada di sana seorang diri, nasib baik ada seorang rakan Rozzana yang pernah bekerja dengannya di sebuah kilang mewakilkan kami bertemu doktor walaupun hanya dibenarkan melihat (Rozzana) untuk dua minit saja, manakala kami keluarga pula belum dapat berhubung walaupun menerusi panggilan video,” katanya.

Nur Diana berkata, setakat Khamis lalu, dia dimaklumkan bil hospital sudah mencecah RM11,000 belum termasuk kos rawatan.

Dia turut meluahkan kebimbangan bil rawatan akan bertambah dan disebabkan itu dia sekeluarga kini berusaha membawa pulang Rozzana ke tanah air dengan harapan mendapat pertolongan daripada pihak kedutaan Malaysia di Korea Selatan dan kerajaan Malaysia secara khususnya.

“Saya ada kongsikan kisah Rozzana di Facebook (Fb) selain meminta pertolongan wakil rakyat.

“Alhamdulillah, ramai prihatin dengan Rozzana walaupun tidak mengenali kami sekeluarga malah sehingga kini kira-kira RM8,000 terkumpul hasil sumbangan rakyat Malaysia.

“Terima kasih kepada semua yang menyumbang namun kami sekeluarga hanya akan gunakan wang itu untuk menampung pembayaran bil hospital Rozanna bukannya bagi membeli tiket penerbangan, urusan visa dan lain-lain lagi,” katanya.

Nur Diana berkata, dia dan adik tirinya, Rashidi, 36 iaitu abang kandung Rozzana akan ke Kuala Lumpur esok bagi menyelesaikan urusan permohonan visa untuk ke Korea Selatan.

“Selesai semuanya, baru saya dan adik (Rashidi) akan membeli tiket penerbangan ke Korea Selatan.

“Diharap semuanya dipermudahkan dan kami tidak pasti berapa lama akan berada di Korea Selatan nanti cuma berharap pihak kedutaan Malaysia di sana dapat membantu urusan membawa pulang Rozzana ke tanah air walaupun saya tahu ia menelan kos yang besar,” katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menghubungi Nur Diana di talian 011-70346900 atau menyumbang ke akaun Maybank bernombor 501178411643 atas nama Dmart Enteprise. – HMetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat