KUALA LUMPUR – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia masih menunggu jawapan daripada pimpinan parti berhubung usul berkaitan had umur keahlian sayap itu kepada 40 tahun.
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, sehingga kini pimpinan masih belum memberikan sebarang keputusan atau gambaran mengenai status usul berkenaan yang telah dibawa sebelum ini.
Perkara itu dimaklumkan beliau ketika ditemui pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 hari ini.
“Sebenarnya, kita masih menunggu jawapan daripada pimpinan tentang usul yang telah dibawa mengenai usul umur itu, 40 itu dan pimpinan masih lagi belum memberikan jawapan.
“Jadi kita harap pimpinan memberikan gambaran sama ada diluluskan atau bagaimana usul itu diperselesaikan,” katanya.
Menurut Nurul Amal, usul tersebut merupakan suara daripada akar umbi Puteri UMNO yang dibawa kepada pimpinan untuk diberikan perhatian.
Katanya, ketiadaan sebarang respons atau penjelasan terhadap usul berkenaan boleh menyebabkan akar umbi merasakan pandangan mereka tidak didengari oleh pimpinan parti.
“Bila Puteri bawa usul, ini usul daripada akar umbi. Tapi bila tiada jawapan daripada pimpinan walaupun kita mahu penerangan dan jawapan, kalau tak disentuh langsung, akar umbi Puteri merasakan pimpinan tidak mendengar.
“Jadi kita nak sampaikan kepada atas yang kita dah bawa usul itu, please respond. Itu saja,” katanya.
Usul berkaitan had umur Puteri UMNO kepada 40 tahun sebelum ini dibawa untuk pertimbangan pimpinan parti, namun keputusan mengenainya masih dinantikan.



