Asyraf, jangan ubah persoalan rasuah jadi drama kononnya PH derhaka kepada raja – PKR

KUALA LUMPUR – Institusi raja tidak sepatutnya dijadikan perisai setiap kali Umno berdepan krisis integriti dan keyakinan rakyat.

Timbalan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Shafi Muhammad berkata, kenyataan Setiausaha Agung Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bahawa Pakatan Harapan (PH) kononnya mempertikaikan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong adalah satu tafsiran politik yang tersasar dan sengaja mengaburkan isu sebenar.

Malah katanya, kecenderungan Asyraf memetik secara langsung PH dalam kenyataan beliau menimbulkan rasa hairan kerana PH langsung tidak menyentuh mana-mana parti politik ataupun kes yang berkaitan dengannya.

“PH tidak pernah menafikan kuasa pengampunan yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

“Menghormati kuasa perlembagaan Yang di-Pertuan Agong tidak bermaksud mana-mana parti politik akan kehilangan hak untuk menyatakan pendirian tegas terhadap rasuah, salah guna kuasa, integriti dan hukuman yang telah diputuskan oleh mahkamah.

“Jangan ubah persoalan tentang rasuah menjadi drama kononnya derhaka kepada Raja. Itu dua perkara yang berbeza.

“Institusi Raja mesti terus dihormati, manakala rasuah tetap wajib ditentang. Tidak ada kompromi di antara kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan.

Lebih ironik katanya, apabila Umno dalam keegoannya menuduh PH meremehkan institusi Raja, tidak menyedari kemelut Negeri Sembilan sendiri menimbulkan persoalan serius berkaitan proses, kuasa dan kedudukan institusi diraja.

“Apabila seorang Menteri Besar sendiri mendakwa berlaku paksaan dalam penandatanganan dokumen berkaitan kedudukan Raja, siapa yang bertanggungjawab dan siapa yang menjadi penderhaka sebenarnya?

“Kalau Umno benar-benar mahu tampil sebagai benteng institusi Raja-Raja Melayu, jawab dahulu persoalan di Negeri Sembilan.

“Jangan hanya lantang bercakap soal Raja apabila ia menguntungkan naratif politik sendiri, tetapi membisu apabila timbul persoalan yang jauh lebih serius di depan mata.

“Institusi Raja tidak sepatutnya dijadikan perisai setiap kali Umno berdepan krisis integriti dan keyakinan rakyat. Hormati Raja dengan mempertahankan Perlembagaan secara konsisten, bukannya menggunakan sentimen terhadap institusi diraja untuk menutup perbahasan tentang rasuah dan integriti,” kata Saifuddin lagi.

Tegas beliau, PH tidak perlu diajar soal menghormati Raja. Yang rakyat mahu ialah konsistensi. Dalam soal institusi Raja, kita menjunjung Perlembagaan.

“Dalam soal rasuah, kita pertahankan kedaulatan undang-undang. Jangan campur-adukkan kedua-duanya semata-mata untuk meraih persepsi politik murahan,” bidasnya lagi.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat