Ipoh: Kilang memproses seri kaya di Kamunting di sini, diserbu oleh sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Negeri Perak, Cawangan Taiping selepas disyaki menggunakan logo halal tanpa kebenaran pihak berkuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan dilakukan jam 10.45 pagi tadi oleh sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Negeri Perak, Cawangan Taiping.
“Melalui pemeriksaan dijalankan, kilang ini didapati beroperasi mengeluarkan produk makanan iaitu seri kaya (jem).
”Pemeriksaan lanjut terhadap produk akhir mendapati wujud logo halal pada bungkusan seri kaya berkenaan. Produk makanan ini juga dipercayai untuk edaran jualan di sekitar negeri Perak dan Pulau Pinang.
”Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, pemilik perniagaan gagal mengemukakan Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang sah. Sehubungan dengan itu, satu tindakan kes diambil di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 kerana disyaki menggunakan logo halal tanpa kebenaran pihak berkuasa JAKIM, katanya semalam memetik laporan BERNAMA.
Katanya lagi, sebanyak 65 unit produk seri kaya yang siap dan 2,000 unit bekas plastik tertera logo halal tidak sah digunakan untuk tujuan perdagangan dan dokumen berkaitan disita serta nilai keseluruhan barang rampasan dianggarkan berjumlah RM452.25.
Kilang itu beroperasi sejak 1994 dan mempunyai sijil halal, tetapi sudah tamat tempoh. Kes disiasat di bawah Perintah 8(a), Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 iaitu kesalahan memperaku mana-mana makanan itu adalah halal.
Jika disabitkan kesalahan bagi pertubuhan perbadanan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM1 juta.
“Jika pesalah bukan pertubuhan perbadanan, boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
“KPDN memandang serius peniaga yang menggunakan perakuan dan penandaan halal terhadap produk makanan atau barangan keluaran yang melanggar undang-undang mengikut Akta Perihal Dagangan 2011,” ujarnya.
-BERNAMA