Curey Depe Mato” Adik Waniey: Pop Dangdut Moden Cetus Fenomena Baru dalam Muzik Pantai Timur

- Advertisement -

KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Setelah mengecapi kejayaan luar biasa dengan lagu viral “Cinta Setandan Pisang” (Bey Sobar Bey), komposer tersohor Eddie Hamid kembali dengan karya terbaharu berjudul “Curey Depe Mato”. Lagu ini menampilkan penyanyi berbakat besar, Adik Waniey, yang sebelum ini dikenali menerusi pertandingan realiti Dangdut Academy Asia 3 (D’Academy Asia 3) pada 2017.

Berbeza dengan karya sebelum ini, Eddie mencuba pendekatan baharu dalam muzik menerusi genre *Pop Dangdut Moden*. Pemilihan genre ini dikatakan mampu membawa nafas segar ke dalam muzik Pantai Timur, yang terkenal dengan identiti muzik tradisionalnya.

Menurut Eddie, *Pop Dangdut Moden* dalam lagu “Curey Depe Mato” memberi kelainan yang berani dan segar. “Selama ini, saya cipta lagu-lagu berbahasa Kelantan dengan lenggok biasa, tetapi kali ini saya bawakan rentak baharu. Genre ini juga amat popular di Indonesia, dan saya yakin ia boleh menarik minat ramai pendengar Malaysia, terutamanya di Pantai Timur,” kata Eddie.

Melodi lagu yang unik ini dikatakan disesuaikan dengan suara Adik Waniey yang versatile. “Saya yakin Adik Waniey mampu membawa apa-apa jenis lagu. Walaupun genre ini baharu buatnya, dia telah berjaya memberikan persembahan yang luar biasa. Saya percaya, *Pop Dangdut Moden* ini akan menjadi trend baharu dalam industri muzik Malaysia,” tambah Eddie.

Lagu ini bukan sekadar tarikan muzik semata-mata, tetapi turut membawa mesej mendalam mengenai fenomena kecurangan yang semakin menjadi-jadi. Lirik yang dihasilkan oleh Mama Anna, Te Ha, dan Jaju mengetengahkan isu sosial yang sering berlaku dalam masyarakat hari ini, di mana kecurangan tidak lagi dilakukan secara tersembunyi, tetapi dilakukan secara terang-terangan.

“Tema curang depan mata ini adalah realiti hari ini, dan lirik lagu ini menyentuh hati. Walaupun saya boleh menulis lirik, saya serahkan kepada mereka yang lebih arif dalam dialek Kelantan. Lirik mereka benar-benar menepati apa yang saya mahukan,” jelas Eddie.

Salah satu elemen menarik dalam “Curey Depe Mato” adalah penyertaan penyanyi baharu, Adam ZBP, yang semakin mendapat perhatian di Kelantan. Eddie menjelaskan bahawa penyertaan Adam adalah untuk memberi pendedahan kepada bakat baru ini sebelum beliau melancarkan single solonya.

“Adam ZBP adalah pelapis baharu yang saya lihat berpotensi besar. Lagu ini platform yang sesuai untuk memperkenalkannya kepada dunia muzik. Saya yakin Adam ZBP akan menempa nama suatu hari nanti,” kata Eddie.

Bagi Adik Waniey, membawa lagu *Pop Dangdut Moden* ini adalah satu cabaran, tetapi beliau menerimanya dengan semangat positif. “Walaupun saya tak pernah nyanyikan lagu sebegini sebelum ini, saya anggap ia sebagai peluang untuk mencabar diri. Seorang penghibur perlu versatil dan boleh menyanyikan pelbagai genre. Pada mulanya, memang rasa canggung, tetapi lama kelamaan saya mula serasi dengan genre ini,” ujar Adik Waniey.

Walaupun baru dilancarkan pada 2 Ogos lalu, “Curey Depe Mato” telah menerima sambutan hangat dan mula diputarkan di pelbagai stesen radio. Eddie berharap lagu ini dapat mengulangi kejayaan “Cinta Setandan Pisang” dan mencipta fenomena baharu dalam industri muzik tempatan.

“Bila saya buat *previu* lagu ini, ramai yang kata lagu ini ada potensi besar. Saya sangat optimis bahawa lagu ini boleh pergi jauh,” kata Eddie penuh yakin.

Bagi peminat muzik, lagu “Curey Depe Mato” kini boleh dinikmati di semua platform penstriman utama seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music. Video muzik rasmi lagu ini juga boleh ditonton di saluran YouTube Kijang Music.

[Link Video Muzik: https://youtu.be/Kz3SQ5umtxM?si=7eSVqphK5_sHmuCX](https://youtu.be/Kz3SQ5umtxM?si=7eSVqphK5_sHmuCX)

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat