Cegah Bunuh Diri, ‘Bertindak Segera, Harapan Terbina’ – Dr Noor Hisham

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan memaklumkan bahawa kes bunuh diri merupakan 10 penyebab utama kematian di seluruh dunia, dan penyebab ke-4 kematian bagi mereka yang berumur daripada 15 hingga 29 tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, situasi pandemik COVID-19 di seluruh dunia memberikan impak yang besar kepada kesihatan mental setiap individu dan masyarakat Malaysia juga tidak terkecuali.

Menurutnya, berdasarkan laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM), terdapat peningkatan dalam kematian akibat kes bunuh diri yang dilaporkan di Malaysia pada tahun 2020 iaitu sebanyak 631 kes berbanding 609 kes pada tahun 2019.

“Sehingga Julai 2021, sejumlah 638 kes bunuh diri telah dilaporkan oleh PDRM berbanding 262 kes bagi tempoh yang sama pada tahun 2020 (Jan-Julai 2020) iaitu peningkatan sebanyak 143% atau 1.4 kali lebih banyak,” katanya dalam satu kenyataan sempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia hari ini.

“Faktor-faktor sosial yang menyebabkan stres yang terlampau antaranya hilang pekerjaan atau sumber pendapatan, isolasi daripada rangkaian sokongan keluarga dan sahabat handai juga boleh memberi kesan kepada sesetengah individu yang berisiko tinggi untuk mengalami masalah kesihatan mental termasuk kemurungan. Sekiranya kemurungan ini gagal dikenal pasti dan dirawat dengan baik, ianya berisiko untuk tingkah laku bunuh diri.

“Tingkah laku bunuh diri meliputi idea bunuh diri (suicidal ideation), rancangan bunuh diri (suicidal plan), cubaan bunuh diri (suicide attempt) dan kematian akibat tindakan bunuh diri,” katanya.

Sehubungan itu, bertemakan ‘Bertindak Segera, Harapan Terbina’ bagi sambutan Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia, adalah bagi meningkatkan keyakinan masyarakat untuk bersama dalam mencegah insiden dan menghapuskan stigma berkaitan tingkah laku bunuh diri.

“Selaras dengan ‘Konsep Keluarga Malaysia’, peranan masyarakat secara bersama bagi mengenal pasti simptom-simptom awal kemurungan dan tingkah laku bunuh diri dalam kalangan orang-orang yang disayangi terutamanya dalam situasi pandemik COVID-19,” katanya

Kementerian Kesihatan juga jelasnya telah melakukan beberapa inisiatif bagi menangani isu tingkah laku bunuh diri antaranya dengan menambah pegawai psikologi kaunseling di peringkat daerah dan klinik kesihatan bagi mengukuhkan perkhidmatan kesihatan mental, pencegahan keganasan dan kecederaan, serta penyalahgunaan substans.

“Sokongan terhadap usaha Dekriminalisasi Cubaan Bunuh Diri di mana usaha bagi pindaan atau pemansuhan Seksyen 309 di bawah Kanun Keseksaan yang menyabitkan cubaan bunuh diri sebagai satu kesalahan jenayah,” katanya.

Pihaknya turut mengadakan advokasi Kempen “Let’s TALK Minda Sihat” kepada kumpulan sasar masyarakat secara menyeluruh merentas agensi dan secara bersepadu termasuk melibatkan media massa, media sosial dan pihak berkepentingan.

“Latihan secara berterusan kepada ‘first-line responders’ seperti anggota kesihatan, anggota polis, dan anggota bomba bagi meningkatkan kemahiran pengendalian tingkah laku bunuh diri,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat