KUALA LUMPUR – Keluarga pengusaha kosmetik Dnars Skincare melahirkan rasa kecewa dengan cara pihak Polis menguruskan operasi membanteras pendatang tanpa izin di M City Residence pada 2 Ogos lalu sehingga menyebabkan keluarga mereka mengalami kerugian hampir seratus ribu ringgit.
Menurut pemimpin Dnars Skincare sekarang, Mohd Faisal Rohban Ahmad, pihak polis dipercayai telah memecah masuk unit kediaman anak saudaranya kerana mahu mencari pendatang tanpa izin walaupun tiada penghuni di rumah tersebut ketika itu.
Apa yang mengecewakan Mohd Faisal, Polis telah meninggalkan unit terbabit tanpa sebarang usaha memastikan harta benda dalam unit tersebut selamat atau sekurang-kurangnnya mengunci kembali.
Antara barangan berharga yang hilang adalah tujuh jenis beg tangan wanita berjenama mewah, (Hermes, Channel, Dior, LV, Bonia) dan sebentuk cincin peninggalan arwah pengasas Dnars Skincare, Faziani Rohban Ahmad yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Pattani, Thailand pada Mei 2019 lalu.
Walaupun tidak menyalahkan pihak Polis sepenuhnya yang memecah masuk rumah anak saudaranya tanpa izin, namun Mohd Faisal menganggap pihak polis seharusnya mempunyai prosedur yang lebih baik dalam menjaga harta benda pemilik rumah yang mereka pecah masuk tanpa kehadiran pemilik atau penghuni.
“Yang saya bingung adalah bagaimana SOP? Adakah selepas memecah masuk mana-mana premis yang tidak bertuan (tanpa kehadiran pemilik premis), polis boleh meninggalkan premis berkenaan begitu tanpa menguncinya? Tidak bolehkah polis mengunci dan menyita premis berkenaan serta meninggalkan notis pemakluman di pintu masuk?
Menurut Mohd Faisal lagi anak saudaranya telah membuat laporan polis selepas pulang dari Kelantan bagaimanapun siasatan polis mungkin menemui jalan sukar berikutan kerosakan CCTV di kediaman terbabit.
“Untuk pengetahuan semua, pihak pengurusan M City memberitahu saya sendiri, CCTV untuk merekod rosak. Yang ada hanya CCTV live.” – SUARATV