MKT UMNO Kini Hanya ‘Caretaker’ Sahaja – Pendaftar Pertubuhan

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang ada sekarang hanya hanya berfungsi sebagai ‘caretaker’ parti sahaja sehingga pemilihan baharu selesai dilaksanakan, kata Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), Jasri Kasim.

Memetik laporan Utusan Online, Jasri berkata, pihaknya menyangkal ura-ura bahawa parti itu boleh dibatalkan dengan mudah kerana ia masih diterajui Pengerusi Tetap dalam tempoh fungsi kepemimpinan MT ketika ini.

“Kepemimpinan Majlis Tertinggi (MT) UMNO ketika ini hanya boleh berfungsi sebagai caretaker sehingga selesai pemilihan dan mesyuarat Agung UMNO 2021 dijalankan.

“MT yang diketuai Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam tempoh sebelum pemilihan dibuat, hanya boleh menjalankan kerja-kerja pentadbiran parti.

“Pada masa ini (kepemimpinan UMNO) seperti caretaker sahaja, hanya boleh buat pengurusan administrative atau pentadbiran biasa parti.

“Dari segi pelaksanaan (atau segala) keputusan dasar kena bawa ke perhimpunan agung dahulu kerana dia lebih kepada caretaker sahaja,” katanya di sini semalam.

Jasri berkata, pihak RoS telah menerima surat penjelasan daripada UMNO semalam berhubung keputusan penangguhan pemilihan 18 bulan yang mana RoS berpandangan sebelum ini sebagai tidak sah memandangkan keputusan penangguhan itu dibuat selepas tamat tempoh pemegang jawatan MT bagi penggal 2018/2021 pada 30 Jun lalu.

Jelas beliau, pihaknya akan meneliti dan mengkaji surat penjelasan yang diterima itu terlebih dahulu kerana parti itu ada mengemukakan maklumat-maklumat baharu.

Bagaimanapun katanya, segala intipati surat penjelasan itu tidak boleh didedahkan, namun memberitahu akan meneliti satu persatu penjelasan berkenaan.

“Saya sudah bercakap perkara ini kepada pihak UMNO bahawa isu ini straight forward sahaja, kita dah dengar penjelasan mereka dan akan teliti satu persatu.

“Mereka juga tidak mengemukakan lagi cadangan tarikh baharu pemilihan parti dan Mesyuarat Agung UMNO 2021 yang akan diadakan,” katanya.

RoS pada Ahad lalu menyarankan UMNO mengadakan pemilihan parti selewat-lewatnya sebelum hujung tahun ini dan pelaksanaan pemilihan hanya dibenarkan untuk ditangguhkan sebelum 31 Disember, dengan parti tersebut perlu mengemukakan permohonan penangguhan kepada RoS dalam tempoh terdekat.

Perkara sama juga perlu dipatuhi pertubuhan lain, bukan hanya melibatkan pertubuhan politik yang belum mengadakan pemilihan atau mesyuarat agung sejak tahun lalu.

Berikutan itu, UMNO menyangkal dakwaan RoS itu kerana percaya tiada sebarang kekhilafan berhubung keputusan penangguhan berkenaan dan pihaknya menerima surat daripada Ketua Pengarah RoS bertarikh 19 Julai lalu yang menyatakan pihaknya tiada halangan berhubung penangguhan pemilihan mengikut Perlembagaan UMNO Perkara 10.16.

Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, mesyuarat MT pada 7 Julai lalu telah mengabsahkan keputusan mesyuarat pada 18 Jun untuk menangguhkan pemilihan, malah Ketua Pengarah RoS kemudian dalam satu surat pada 19 Julai pula menyebut pihaknya tiada halangan tentang penangguhan pemilihan mengikut Perlembagaan UMNO Perkara 10.16.

Selain itu, UMNO telah menghantar surat kepada RoS pada 30 Julai berhubung minit mesyuarat MT bertarikh 7 Julai lalu yang mengabsahkan keputusan resolusi edaran pekeliling 18 Jun.

Pada 29 Jun lalu, UMNO menangguhkan pemilihannya di semua peringkat Cawangan, Bahagian dan MT selama 18 bulan bermula 30 Jun lalu setelah menemui dan menulis surat kepada Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan serta Ketua Pengarah RoS.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat