KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menjunjung kasih ke atas titah Istana Negara yang mahukan isu pelantikan hakim ditangani dengan cermat dan berintegiriti, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Meskipun mengakui jelas Perkara 122B menyebut bahawa pelantikan hakim dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja.
Pun begitu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, dalam keadaan Perdana Menteri hari ini mempunyai konflik kepentingan peribadi, memandangkan beliau sendiri berdepan dengan beberapa saman sivil di mahkamah.
Maka katanya, adalah munasabah serta wajar untuk pelbagai pihak merasa curiga tentang wujudnya campur tangan politik dalam soal pelantikan hakim.
“Sehubungan itu, adalah disarankan agar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil cuti dan seorang Perdana Menteri Interim dilantik untuk menjalankan tanggungjawab, khususnya di bawah Perkara 122B.
“Ini akan menghilangkan prejudis terhadap proses pelantikan hakim dan persepsi umum yang mengaitkan Perdana Menteri terlibat menentukan hakim-hakim yang akan membicarakan kes beliau, – demi menjaga integriti, kebebasan dan kemuliaan institusi kehakiman negara,” kata Timbalan Presiden Bersatu itu dalam kenyataan pada Khamis.
Hamzah berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Istana Negara yang menyebut pelantikan hakim mahkamah atasan mesti ditangani dengan cermat dan elak dipolitikkan.