NEW YORK – Seorang wanita di Amerika Syarikat (AS) yang menjadi pesakit kedua melakukan transplan buah pinggang babi diubah suai secara genetik dilaporkan meninggal dunia pada Ahad lalu.
Lisa Pisano, 54, dari New Jersey mengalami kegagalan buah pinggang dan jantung selepas wanita itu menerima pemindahan organ tersebut pada 12 April lalu dan sempat ‘menggunakannya’ selama 47 hari.
Pisano mencipta sejarah dalam dunia perubatan apabila menerima transplan buah pinggang babi tersebut bersama peranti yang diimplan bagi memastikan jantungnya terus berdegup.
Pada akhir bulan lalu, pakar bedah terpaksa mengeluarkan semula buah pinggang tersebut setelah ia rosak kerana aliran darah tidak mencukupi.
“Dia kembali menjalani dialisis selepas organ itu tidak lagi dapat berfungsi kerana pengambilan ubat jantung,” ujar doktor di NYU Langone Health.
Pesakit pertama yang melakukan prosedur serupa menggunakan buah pinggang babi ialah Richard Slayman, 62, dari Weymouth pada Mac lalu dan meninggal dunia selepas dua bulan kerana masalah perubatan yang kompleks. – Agensi