Berita baik buat peminat muzik tanah air, terutamanya yang berada di Johor Bahru! Mega Eve Sdn Bhd dengan bangga mempersembahkan Konsert Divas & Diamonds 2024, sebuah konsert menjanjikan persembahan malam luar biasa yang menampilkan barisan diva dan legenda muzik ternama dari Malaysia dan Indonesia.
Konsert Divas & Diamonds 2024 akan menampilkan barisan bintang hebat antaranya Dato’ Sri Rossa, Dato’ Jamal Abdillah, Dayang Nurfaizah, dan Joe Flizzow. Dengan lebih daripada 60 album dan pelbagai anugerah, para artis ini dijangka menghidupkan malam itu dengan lagu-lagu hit mereka, dari yang dulu hingga yang terkini.
Konsert Divas & Diamonds 2024 ini akan diadakan pada 7 September 2024 di Arena Larkin Indoor Stadium. Lebih daripada sekadar konsert, Persembahan Divas & Diamonds 2024 menjanjikan pengalaman muzik yang tak terlupakan. Penonton akan disajikan dengan lagu-lagu hit daripada para diva dan legenda, diiringi dengan pentas, bunyi, dan lampu yang memukau.
Konsert ini bukan sahaja menjanjikan persembahan hebat tetapi juga pengalaman audio dan visual yang inovatif. Menurut Encik Aman Ali, Ketua Projek Mega Eve Sdn Bhd, penonton boleh menjangkakan malam yang penuh keseronokan dan persembahan yang memukau. “Adakah akan ada duet di pentas nanti? Kita perlu tunggu dan lihat. Apa yang pasti, peminat akan disajikan dengan persembahan yang luar biasa,” kata beliau.
Dato’ Jamal Abdillah, yang tidak dapat hadir semasa pelancaran konsert ini pada bulan Mei lepas, menyatakan keterujaannya untuk bertemu peminat di Johor Bahru melalui main balik video beliau. “Divas & Diamonds 2024 adalah platform terbaik untuk saya bertemu peminat saya di JB dan saya tidak sabar untuk menghiburkan mereka,” katanya.
Joe Flizzow pula menambah dengan penuh semangat, “Untuk hiphop, live performance benar-benar membawa keseronokan kepada saya dan peminat-peminat saya. Saya yakin konsert ini akan menjadi sangat istimewa, In sya Allah.”
Turut hadir dalam majlis sidang media adalah Genervie Kam, komposer terulung yang akan menjadi pengarah muzik untuk mengiringi persembahan Dato Jamal Abdillah dan Dayang Nurfaizah. Sementara itu, Dato’ Rossa dan Joe Flizzow akan diiringi oleh band mereka sendiri.
Selain daripada hiburan, konsert ini juga akan menyumbang kepada usaha kemanusiaan. Lima peratus daripada hasil tiket akan disalurkan bagi menyokong bantuan di Gaza, Palestin. Sumbangan ini akan diserahkan terus kepada pegawai Kedutaan Palestin. Ketua Pegawai Eksekutif Mega Eve Sdn Bhd, Dr Farhan Razali menyatakan komitmen syarikat dalam menyokong usaha Kerajaan memperjuangkan nasib rakyat Palestin.
“Dengan sokongan daripada peminat di Johor Bahru, kami berharap dapat memberikan impak yang besar melalui konsert ini sambil menyokong saudara-saudari kita di Gaza,” tambah Dr Farhan.
Tiket Konsert Divas & Diamonds 2024 sudah tersedia dan boleh dibeli di Ticket2u. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan konsert spektakuler ini dan sokonglah inisiatif kemanusiaan untuk membantu saudara-mara kita di Palestin.
Konsert ini dijangka menjadi salah satu konsert terbesar tahun ini, memberikan hiburan terbaik dan menyokong usaha kemanusiaan. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada sejarah dengan menyaksikan Divas & Diamonds 2024.