Anwar sedia main peranan reda ketegangan Pakistan – India

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kesediaan Malaysia memainkan peranan ke arah meredakan ketegangan antara Pakistan India sekiranya diperlukan.

Tegas Anwar, hubungan baik Malaysia dengan Pakistan dan India adalah aset penting yang boleh dimanfaatkan demi keamanan dan kestabilan serantau.

“Semalam saya menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif, yang memaklumkan penangguhan lawatan rasmi beliau ke Malaysia pada Jumaat ini susulan ketegangan yang timbul selepas insiden serangan di Kashmir baru-baru ini.

“Saya memahami situasi rumit yang sedang dihadapi Pakistan dan mendoakan agar keadaan segera reda serta tidak terus meruncing.

“Saya mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan dan menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan untuk siasatan bebas dan telus bagi mengenal pasti dalang sebenar serangan itu.

“Saya turut menyatakan kesediaan Malaysia memainkan peranan ke arah meredakan ketegangan sekiranya diperlukan. Hubungan baik Malaysia dengan Pakistan dan India adalah aset penting yang boleh dimanfaatkan demi keamanan dan kestabilan serantau,” ujar Anwar.

Sementara itu kata Anwar, PM Shehbaz turut menyatakan penghargaan terhadap hubungan erat antara kedua-dua negara serta mengutarakan hasrat untuk mempercepatkan pemeteraian memorandum persefahaman yang sedang dirunding.

“Saya tegaskan komitmen Malaysia untuk menyegerakan urusan tersebut.

“Insya-Allah, apabila keadaan mengizinkan, kita akan menyambut PM Shehbaz di Malaysia dalam suasana aman dan tenteram,” kata beliau lagi.

Baru-baru ini ketegangan antara India dan Pakistan kembali memuncak apabila kedua- dua negara berbalas tembakan di sepanjang Garisan Kawalan (LoC) yang memisahkan wilayah Kashmir.

Tentera India mendakwa pasukan Pakistan telah melepaskan tembakan senjata ringan secara ‘tidak diprovokasi’ di seluruh LoC dan memaksa tentera India bertindak balas.

Ketegangan meningkat susulan serangan oleh kumpulan bersenjata pada hujung April lalu yang mengorbankan 26 orang awam di Pahalgam, Kashmir yang ditadbir India, serangan paling dahsyat dalam tempoh 25 tahun.

New Delhi menuduh Islamabad mendalangi ‘keganasan rentas sempadan’, namun Pakistan menafikan sebarang penglibatan dan menyifatkan tuduhan itu sebagai ‘tidak berasas’.

Insiden itu memberi tamparan hebat kepada industri pelancongan Kashmir yang sedang dalam fasa pemulihan.

Sebuah kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai ‘Kashmir Resistance’, mengaku bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.

Dalam usaha meredakan ketegangan, Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif, menawarkan kerjasama untuk satu siasatan neutral, telus dan berwibawa, namun turut memberi amaran bahawa pasukannya bersedia menghadapi sebarang tindakan mencabar dari India.

Perdana Menteri India, Narendra Modi pula berikrar akan memburu dan menghukum semua pengganas serta pihak yang bersubahat.

Krisis ini semakin meruncing apabila kedua-dua negara mengambil langkah balas dendam.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat