Oleh: Zihan Zari
PONTIAN – Industri nanas di Malaysia merupakan salah satu sektor pertanian penting yang memberikan sumbangan kepada ekonomi negara.
Ianya kian berkembang di Johor, khususnya di daerah Pontian yang menunjukkan prestasi yang amat memberangsangkan.
Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia, (LPNM), Hj. Sheikh Umar Bagharib Ali berkata demikian di Majlis Perasmian Pusat Pengumpulan Hasil Ladang dan Benih Nanas, Parit Haji Osman, Kampung Parit Jerman pada Isnin.
Turut hadir, Pengarah LPNM Johor, Ahmad Fitri Shah Mohd Yussof dan Penaung Projek Tanaman Nanas Berkelompok Kg. Parit Jerman, Mohammad Anal Talhah.
Sheikh Umar Bagharib berkata, pada 2022 sahaja, Johor telah mencatatkan peningkatan jumlah penanam nanas yang sangat ketara.
Di daerah Pontian, seluas 1,321 hektar penanam nanas telah direkodkan, merupakan menyumbang kepada pengeluaran hasil yang besar untuk negeri Johor.
Menurutnya, pusat pengumpulan di Kg. Parit Jerman adalah satu langkah ke hadapan dalam memastikan hasil nanas yang bermutu tinggi dapat dihasilkan dan diedarkan dengan lebih sistematik.
Sebanyak sejuta nanas MD2 berjaya ditanam di atas tanah seluas kira-kira 20 hektar menerusi projek tanaman nanas berkelompok di sini, sejak Januari lalu.
“Kejayaan projek pusat ini bukan sahaja akan berfungsi sebagai tempat pengumpulan hasil, tetapi juga sebagai pusat pembenihan yang akan memastikan kesinambungan dan kestabilan industri nanas di Malaysia.
“Konsep ‘profit sharing’ yang diperkenalkan ini akan menarik lebih ramai anak muda untuk menceburi bidang ini, ianya bukan sahaja akan meningkatkan pengeluaran hasil nanas, malah memberi peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat.
“Sambutan Hari Nanas Malaysia pada 27 Jun lepas telah memperlihatkan sokongan padu daripada seluruh rakyat Malaysia terhadap industri nanas.
“Ianya bukan sahaja menjadi platform untuk mempromosikan nanas tempatan, sebagai satu penghargaan kepada semua penanam dan mereka yang terlibat dalam industri ini.
Malah menyuntik semangat dan motivasi kepada kita semua untuk terus memajukan industri nanas di negara ini,” katanya.
Ujarnya, pelbagai bantuan telah disalurkan kepada penanam nanas pada tahun ini, melalui peruntukan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk Projek Tanaman Nanas Bernilai Tinggi (BPPT).
Antaranya, bantuan baja melibatkan 104 ekar kepada 38 peserta berjumlah RM 275,230.75, bantuan benih MD2 melibatkan 39 ekar kepada 18 peserta berjumlah RM 795,600 dan bantuan benih varieti lain melibatkan 2.5 ekar dengan seorang peserta berjumlah RM 14,875.
Selain itu, peruntukan Johor Pineapple Project bagi bantuan benih MD2 yang melibatkan 25 ekar kepada 13 orang peserta berjumlah RM 510,000.
Manakala projek tanaman nanas berkelompok di Kg. Parit Jerman iaitu bantuan sebanyak 170,000 benih melibatkan keluasan 10 ekar berjumlah RM 204,000 kepada 4 orang peserta.
“Pusat ini diharap terus berkembang dan memberi manfaat dan menjadi pemangkin kepada kejayaan industri nanas di Malaysia,” ujarnya lagi – SUARA.TV