6 MP kekal: Speaker buat keputusan songsang – Muhyiddin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Parti Bersatu hari ini mengesahkan telah menerima surat bertarikh 9 Julai 2024 lewat petang semalam daripada Speaker Parlimen, Tan Sri Johari Abdul yang menyatakan bahawa tidak berlaku kekosongan kerusi di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan untuk keenam-enam kerusi bekas ahli Bersatu yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan, keputusan Speaker tersebut adalah amat mengecewakan kerana dengan jelas bercanggah dengan peruntukan tersurat dan tersirat Perkara 49(3) Perlembagaan Persekutuan.

“Keputusan Speaker dengan memberikan alasan-alasan dangkal dan tafsiran songsang menunjukkan Speaker telah mencemar Perlembagaan Persekutuan.

“Sedangkan beliau telah berikrar untuk menjunjung dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara,” kata Muhyiddin pada Rabu.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menegaskan, Bersatu memutuskan untuk mengambil langkah-langkah susulan dengan melantik pakar-pakar perundangan untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi menegakkan Perlembagaan
Persekutuan dan Perlembagaan Parti Bersatu.

“PN mengingatkan semua parti politik dan ahli Dewan Rakyat bahawa kita telah meluluskan pindaan perkara 49A secara sebulat suara.

“Maka, tindakan Speaker membuat tafsiran yang mencemar peruntukan lompat parti tersebut harus dicela,” tegas bekas Perdana Menteri itu.

Jelas Muhyiddin lagi, peruntukan Perkara 49(1)(a)(ii) Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas bahawa kerusi ahli Dewan Rakyat hendaklah menjadi kosong jika dia tidak lagi menjadi anggota parti politik tersebut setelah dipilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti politik tersebut.

Ujarnya, dalam situasi ini, jelas bahawa enam Ahli Dewan Rakyat tersebut di sini tidak lagi menjadi ahli Bersatu berikutan dengan peruntukan-peruntukan perlembagaan Bersatu.

“Di bawah Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966, apa-apa pentafsiran perlembagaan parti politik oleh parti tersebut adalah muktamad dan konklusif.

“Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu telah pun memutuskan bahawa enam ahli Dewan Rakyat ini adalah telah terhenti keahliannya.

“Pentafsiran Bersatu terhadap perkara ini adalah muktamad dan tidak boleh dicabar, dirayukan, dikaji semula, dibatalkan atau dipersoalkan,” kata Ahli Parlimen Pagoh itu lagi.

Sehubungan itu menurut Muhyiddin, keputusan Speaker adalah bercanggah dengan peruntukkan undang-undang dan telah bertindak di luar bidang kuasa beliau dalam membuat tafsiran yang songsang.

Tegas beliau, hanya mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk mentafsirkan Perlembagaan Persekutuan.

“Untuk Ahli Parlimen P.166 Labuan pula, Speaker memberikan alasan remeh dan enggan mengisytiharkan kekosongan kerusi tersebut setelah ahli Parlimen Labuan tersebut memulakan tindakan mahkamah yang juga menyalahi peruntukan Perlembagaan Bersatu.

“Saya menyeru Speaker untuk menegakkan tujuan dan hasrat sebenar peruntukan 49A Perlembagaan Malaysia yang bertujuan mengekang perbuatan-perbuatan khianat ahli Dewan Rakyat yang menodai mandat rakyat semasa pilihan raya. Seperti mana kata-kata Speaker semasa beliau menjadi pembangkang yang dipetik dalam hansard Dewan Rakyat bertarikh 27 Julai 2022 di muka surat 85, ketika membahaskan RUU Pindaan Perlembagaan bagi menghalang Ahli Parlimen melompat parti, “Inilah satu-satunya undang-undang yang boleh menyekat kita daripada terus menjahanamkan negara kita.

“Tidak kiralah sama ada sebelah sini (pembangkang) atau sebelah sana (kerajaan) tetapi ini harus terhenti di sini.” Hakikatnya, keputusan YB Speaker ini sendiri telah mengkhianati semangat dan hasrat murni pindaan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan bagi menghalang Ahli Parlimen melompat parti,” bidas Muhyiddin.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat