KUALA LUMPUR- Industri halal Malaysia disokong oleh infrastruktur standard dan akreditasi kukuh yang meliputi pelbagai bidang halal.
Malah, menurut Jabatan Standard Malaysia (JSM), piawaian Malaysia iaitu Malaysian Standards (MS) berkaitan halal, sentiasa menjadi penanda aras dan rujukan kepada negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Setakat ini, JSM sudah membangunkan 15 standard halal dalam pelbagai bidang halal, sekali gus membuka peluang lebih besar kepada pemain industri halal memasuki pasaran global.
Ia antaranya merangkumi bidang makanan, farmaseutikal, logistik, produk penjagaan peribadi, ujian makmal halal dan perkhidmatan hospitaliti mesra Muslim.
Ketua Komunikasi Strategik JSM, Ahmad Razif Abd Rahim, berkata MS dibangunkan melalui persetujuan jawatankuasa yang dianggotai oleh perwakilan yang seimbang daripada pengeluar, pengguna dan pihak lain yang kepentingannya relevan, sesuai dengan perkara yang diusahakan.
Beliau berkata, bagi ekosistem halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) selaku badan berautoriti, bertanggungjawab mengeluarkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), dengan berdasarkan MS yang dibangunkan JSM.
Katanya, kelulusan sesuatu standard sebagai MS ditentukan oleh Akta Standard Malaysia 1996 (Akta 549).
Jelasnya, penggunaan MS adalah secara sukarela, melainkan diwajibkan oleh pihak berkuasa yang mengawal selia, melalui peraturan, undang-undang kecil tempatan atau apa-apa cara lain yang sama.
“Bagi sektor halal, sejumlah 15 MS sudah dibangunkan. Tiga MS yang berkaitan logistik ialah MS 2400-1:2019 Sistem pengurusan rantaian bekalan halal – Bahagian 1: Pengangkutan – Keperluan umum (Semakan Pertama); MS 2400-2:2019 Sistem pengurusan rantaian bekalan halal – Bahagian 2: Penggudangan – Keperluan umum (Semakan Pertama) dan MS 2400-3:2019 Sistem pengurusan rantaian bekalan halal – Bahagian 3: Peruncitan – Keperluan umum (Semakan Pertama).
“Rantaian bekalan halal menghubungkan pengeluar produk, barangan dan/atau kargo dengan pengguna. Ia menyediakan jaminan bahawa produk, barangan dan/atau kargo yang diserahkan oleh satu penjaga yang lain adalah menurut keperluan halal, justeru, memelihara integriti produk, barangan dan/atau kargo halal,” katanya lapor BH.
Sebelum ini, BH melaporkan, penyelidik Pusat Kajian Ekonomi dan Industri Maritim (MIMA) menyarankan Malaysia mempelopori penggunaan kontena dan gudang halal di pelabuhan negara.
Isu halal membabitkan industri perkapalan, khususnya kontena mendapat perhatian susulan pendedahan kartel daging import yang didakwa menyalahgunakan logo halal, selain laporan serbuan pihak berkuasa terhadap daging haiwan halal bercampur dengan babi di pelabuhan.
Mengulas lanjut, kumpulan penyelidik MIMA itu mengakui terdapat beberapa kekangan dalam pelaksanaan kontena halal, antaranya kos yang tinggi, tempoh masa tidak menentu bagi memenuhi kontena halal, namun ia boleh diatasi dengan kerjasama pihak perkapalan, logistik dan pengilang.
Selain menjaga kesucian produk halal, mereka menegaskan pelaksanaan kontena dan gudang halal juga memiliki kesan limpahan ekonomi kepada keseluruhan ekosistem maritim dan logistik halal, khususnya dengan memanfaatkan kapasiti infrastruktur pelabuhan negara yang kini mampu mengendalikan 28 juta TEU (unit bersamaan 20 kaki) kontena.
Mengulas fungsi JSM, Ahmad Razif berkata, JSM ditubuhkan pada 28 Ogos 1996 di bawah Akta Standard Malaysia 1996 (Akta 549) dan ia kemudian diletakkan di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bermula Oktober 2018
Ahmad Razif berkata, jabatan itu bukan agensi penguatkuasa sebaliknya bertanggungjawab untuk menyediakan perkhidmatan standardisasi iaitu membangun dan menggalakkan penggunaan MS serta menyediakan perkhidmatan akreditasi kepada makmal, badan pensijilan dan badan pemeriksaan.
Setakat ini, Ahmad Razif berkata, sejumlah 8,000 MS berjaya dibangunkan JSM.
Beliau menjelaskan, perkhidmatan standardisasi itu menyokong fungsi MITI bagi menggalakkan kemasukan pelaburan asing, memperkasakan pelaburan tempatan, memantapkan perdagangan antarabangsa serta memperkasakan pembangunan industri yang lestari dan mampan.
Kredit foto: Facebook