AirAsia Perlu Kemuka Sebab Lewat, Jadual Semula Penerbangan Dalam Tempoh 24 Jam

KUALA LUMPUR – Syarikat penerbangan AirAsia bakal memberi maklum balas berkenaan rungutan pengguna termasuk berkaitan kelewatan dan penjadualan semula penerbangan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam tempoh 24 jam.

Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, desakan itu rentetan aduan pengguna yakni penumpang penerbangan tersebut berkenaan isu kelewatan dan pemjadualan semula.

“Susulan itu, saya selaku Menteri KPDNHEP mendesak supaya Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) untuk lebih proaktif serta tampil mencari penyelesaian terbaik berhubung isu ini.

“Saya juga dimaklumkan bahawa AirAsia akan memberikan maklum balas lengkap terhadap isu yang diketengahkan pengguna menerusi KPDNHEP dalam tempoh 24 jam ini,” kata beliau di Twitter pada Selasa.

Terdahulu Alexander yang juga Ahli Parlimen Kapit menyatakan sebagai menteri yang ditugaskan menjaga pengguna, beliau mengambil maklum mengenai rungutan, aduan dan keluhan disuarakan pengguna berhubung kelewatan penerbangan AirAsia membabitkan pelbagai destinasi dalam negara.

“Kelewatan ini dikesan sudah berlaku sejak penghujung bulan lalu dan masih berlanjutan.

“KPDNHEP akan terus menjalankan siasatan daripada sisi kepentingan pengguna dan bekerjasama dengan MOT bagi merungkai permasalahan ini, demi memastikan ia tidak berlanjutan dan berulang,” tegas beliau.

Alexander menambah pengguna perkhidmatan penerbangan berhak menuntut pampasan (tertakluk kepada beberapa faktor) bagi meneruskan perjalanan.

“Bergantung kepada punca penundaan atau pembatalan, berdasarkan maklumat daripada mavcom.my, pampasan ini mungkin merangkumi makanan, panggilan telefon dan akses internet (bagi penangguhan selama 2 jam atau lebih.

“Juga penginapan hotel dan pengangkutan (untuk penangguhan selama 5 jam atau lebih);
pembayaran balik secara penuh atau penerbangan alternatif (jika penerbangan anda dibatalkan),” jelas beliau.

Katanya lagi, satu- satunya pengecualian (bagi mendapatkan pampasan) adalah apabila berlakunya suatu “keadaan luar biasa” yang termasuk risiko keselamatan atau cuaca ekstrem, yang mana syarikat penerbangan tidak dapat menjangkanya.

“Jika anda berpandangan bahawa anda tidak menerima pampasan sewajarnya, sila kemukakan aduan rasmi kepada syarikat penerbangan tersebut sebelum anda menghubungi MAVCOM,” ujar Alexander.