BUKIT KEPONG- Calon Barisan Nasional (BN) Bukit Kepong, Ismail Mohamed merasakan beliau seolah-olah sedang beradu dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin memandangkan DUN yang ditandinginya berada di bawah Parlimen Pagoh.

Kata Ismail lawannya dari Perikatan Nasional (PN) di Bukit Kepong ialah bekas Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal tetapi oleh kerana Muhyiddin merupakan ‘poster boy’ BN maka mukanya lebih meriah berbanding calon bertanding.

“Calon yang bertanding di Bukit Kepong ialah Dr Saharuddin dan dua lagi, Tan Sri Muhyiddin bukan calon.

“Tapi saya rasa seolah-olah saya bertanding dengan Tan Sri Muhyiddin. Gambar dia lebih banyak daripada calon yang bertanding,” kata Ismail ketika ditemui Suara.TV di Felcra Bukit Kepong pada Khamis.

Pun begitu, Ismail berkata, beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan pengundi untik menilai bersandarkan khidmat bakti yang beliau pernah tawarkan kepada mereka sebelum ini ketikan menjadi ADUN di situ.

Di bawah Parlimen Pagoh terdapat dua DUN iaitu Bukit Kepong dan Bukit Pasir.

Sementara itu, menurut beliau lagi, sepanjang dua minggu berkempen Ismail dapat merasakan gelombang peralihan pengundi terutamanya Cina, India dan Orang Asli terhadap kepimpinan BN.

“Saya dapat rasakan sokongan positif orang Melayu tapi orang Cina amat mengejutkan. Kerana apabila saya turun ke kedai-kedai mereka mengharapkan BN dapat berkuasa kembali.

“Rata-rata pengundi Cina memaklumkan mereka lebih yakin di bawah pemerintahan BN terutamanya membabitkan kawalan harga barang dan mereka lebih muda berniaga sewaktu dipimpin BN.

“India pun begitu juga kerana mereka rasa bawah Pakatan Harapan (PH) mereka kurang dapat bantuan bawah BN lebih dapat tumpuan, Orang Asli pun begitu juga bila saya pergi ke lima perkampungan Orang Asli mereka dapat membezakan zaman BN dan zaman PH.

“Di bawah BN mereka lebih dihargai dengan bantuan-bantuan manakala di bawah PH mereka ketinggalan daripada arus pembangunan .

“Saya akan habiskan semua tempat, mereka lebih seronok kalau saya turun,” ujar Ismail.