SHAH ALAM, — Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan penternakan babi tidak perlu dilaksanakan di Negeri Selangor, sebaliknya keperluan bekalan daging babi boleh ditampung melalui kaedah import mengikut permintaan.
Pendirian tersebut dinyatakan susulan kenyataan Perdana Menteri pada 23 Januari 2026 yang menyarankan agar projek ternakan babi berskala besar di Bukit Tagar, Hulu Selangor dibatalkan. Perkara itu turut dibincangkan ketika Perdana Menteri menghadap Baginda pada 8 Februari lalu.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Baginda tidak berkenan penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Negeri Selangor kerana berpotensi menyebabkan pencemaran udara akibat bau serta mencemarkan sungai melalui pelepasan najis dan sisa kumbahan.
Menurut kenyataan tersebut, walaupun kaedah penternakan moden boleh mengurangkan risiko pencemaran, ia memerlukan kos yang tinggi dan tiada jaminan sepenuhnya bahawa pencemaran air tidak akan berlaku, khususnya di kawasan tadahan air yang membekalkan sumber air bersih kepada penduduk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Baginda turut berpandangan bahawa sumber tanah di Selangor adalah terhad dan nilai hartanah yang tinggi seharusnya dimanfaatkan untuk tujuan yang lebih produktif serta memberi manfaat lebih luas kepada masyarakat.
Sehubungan itu, Baginda menyarankan agar kerajaan mempertimbangkan pemberian lesen pengimportan daging babi bagi menampung permintaan masyarakat bukan Islam khususnya kaum Cina di negeri ini, selain membolehkan kerajaan negeri mengoptimumkan penggunaan tanah untuk pembangunan dan penempatan.
Tuanku Sultan Selangor turut menegaskan agar isu penternakan babi ini dihentikan dan dimuktamadkan kerana ia menimbulkan keresahan serta boleh menjejaskan keharmonian dan keselamatan masyarakat.
Semua pihak diseru supaya menghormati titah Baginda dan bersama-sama menjaga perpaduan serta kestabilan negeri.



