Keluar parti bukan keluar Islam – Mahfuz layang surat terbuka kepada ahli, penyokong Pas

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar melayangkan surat terbuka kepada ahli dan penyokong Pas dengan mengingatkan jika hari ini hati mereka tidak lagi tenang, Islam membenarkan untuk berhenti seketika, berfikir, dan menilai semula.

Mahfuz mengingatkan bahawa, keluar parti bukan keluar Islam.

Bahkan katanya, meninggalkan organisasi parti politik bukan meninggalkan iman.

“Dan menghormati Pas tidak mewajibkan kesetiaan seumur hidup.

“Sahabat, takutlah kepada Allah dan bukan kepada parti.

“Peganglah Islam bukan kerana tekanan, tetapi kerana keyakinan dan jika kalian memilih jalan yang berbeza, ketahuilah: Allah menilai kejujuran, bukan keahlian,” ujarnya.

Dalam mukadimah surat terbuka itu, Mahfuz menyatakan, surat ini tidak ditulis untuk memujuk, apatah lagi menghukum.

“Ia ditulis kerana saya tahu, di dalam Pas ada ramai insan yang ikhlas, taat, dan takut kepada Allah.

“Ramai antara kalian kekal bertahan bukan kerana benci orang lain, tetapi kerana takut berdosa, takut silap jalan, takut dimurkai Tuhan. Ketakutan itu lahir daripada iman dan iman itu sesuatu yang mulia.

“Namun izinkan saya bertanya dengan penuh rendah hati. Jika hari ini Presiden Pas sendiri telah menyatakan bahawa pertembungan Pas dan Umno bukan isu akidah, tetapi isu pendekatan. Maka apakah makna semua ketakutan yang pernah ditanam dalam hati kita selama ini?

“Jika ia bukan isu akidah, maka iman kita tidak terikat pada parti,” kata beliau lagi.

Sementara itu, Mahfuz berkata, Islam tidak pernah mengajar bahawa masuk parti tertentu menjamin syurga atau keluar parti tertentu dan sertai parti tertentu membawa ke neraka.

“Tiada satu ayat al-Quran yang meletakkan keselamatan iman di tangan organisasi parti politik.

“Iman adalah hubungan peribadi antara hamba dan Allah. Ia tidak diwakilkan kepada mana-mana parti, pimpinan atau bendera.

“Saya tahu, ada ahli Pas yang takut dilabel munafik. Ada yang takut dikafirkan.

Ada yang takut diputuskan ukhuwah. Tetapi sahabat, munafik dan kafir bukan label politik.

“Ia istilah akidah yang besar, dan tidak boleh digantungkan kepada keputusan memilih atau meninggalkan parti.

“Berbeza pandangan bukan dosa. berubah pendirian bukan khianat.

“Mencari jalan yang lebih jujur dengan keikhlasan hati dan keizinan Tuhan bukan kesesatan,” pesan Mahfuz.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat