CYBERJAYA – – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan bahawa pegangan saham Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki, dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan telah diisytiharkan mengikut prosedur kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Memetik laporan BERNAMA, SPRM dalam satu kenyataan menafikan dakwaan yang dibangkitkan oleh sebuah laporan media antarabangsa, sambil menyifatkannya sebagai mengandungi kenyataan mengelirukan dan tuduhan yang tidak berasas.
Menurut SPRM, Azam telah mematuhi sepenuhnya keperluan pengisytiharan harta yang berkuat kuasa, termasuk melaporkan sumber pendapatan serta pemerolehan dan pelupusan aset melalui Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) kepada JPA.
“Ketua Pesuruhjaya SPRM telah mematuhi sepenuhnya keperluan pengisytiharan harta yang berkuat kuasa, termasuk pengisytiharan berhubung aset seperti saham,” menurut kenyataan itu.
SPRM turut menegaskan bahawa sebarang gambaran seolah-olah berlaku kegagalan pengisytiharan aset adalah tidak berlandaskan fakta dan boleh menimbulkan persepsi mengelirukan terhadap kerangka integriti serta tadbir urus perkhidmatan awam, selain memberi gambaran tidak adil kepada SPRM sebagai sebuah agensi penguatkuasaan undang-undang.
Dalam perkembangan berkaitan, Azam dilaporkan berkata beliau sedang menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mempertikaikan transaksi saham tersebut. Beliau menyifatkan laporan berkenaan sebagai bersifat jahat, mengelirukan dan berunsur fitnah.
Menurut Azam, saham tersebut dibeli dan dijual dalam tahun yang sama, dan keseluruhan transaksi telah dibuat secara telus serta diisytiharkan melalui HRMIS seperti yang ditetapkan.
Terdahulu, sebuah laporan menyatakan bahawa Azam memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Berhad, bersamaan kira-kira 1.7 peratus pegangan dalam syarikat berkenaan.
Sementara itu, pemeriksaan terhadap rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati pegangan tersebut didaftarkan dalam dokumen syarikat pada 26 Disember tahun lalu.
Sepanjang tahun berkenaan, harga saham syarikat itu dilaporkan berlegar antara RM0.015 hingga RM0.065 sesaham, dengan anggaran nilai pegangan saham berkenaan mencecah ratusan ribu ringgit.
Isu had pelaburan saham penjawat awam sebelum ini turut dibangkitkan, memandangkan peraturan menetapkan bahawa penjawat awam tidak dibenarkan memiliki saham melebihi RM100,000 dalam satu-satu syarikat.
Untuk rekod, Azam pernah menjadi perhatian umum pada 2021 berhubung pemilikan saham dalam Gets Global Berhad (sebelum ini KBES Berhad), serta pemilikan waran dalam Excel Force MSC Berhad beberapa tahun lalu, ketika peraturan had pembelian saham penjawat awam telah pun berkuat kuasa.



