PUTRAJAYA,— Mahkamah Persekutuan hari ini menolak keputusan Mahkamah Rayuan dan mengekalkan sabitan serta hukuman terhadap Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berhubung kes menerima kira-kira RM3 juta suapan berkaitan pembelian sebuah hotel di Kuching.
Mahkamah Tinggi sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta selepas mensabitkan beliau bersalah atas sembilan pertuduhan menerima suapan berjumlah RM3.09 juta.
Hakim Nordin Hassan yang mengetuai panel tiga hakim berkata Mahkamah Rayuan sebelum ini telah melakukan kesilapan yang boleh dirayu sehingga memerlukan campur tangan Mahkamah Persekutuan.
Sehubungan itu, rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan pembebasan oleh Mahkamah Rayuan dibenarkan. Turut bersidang ialah Hakim Lee Swee Seng dan Ruzima Ghazali.
Kes tersebut berpunca daripada pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites oleh Felda Investment Corporation (FIC) sekitar tahun 2014 ketika Isa menjadi Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).
Pada 2019, Isa didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan sebagai dorongan membantu meluluskan pembelian hotel berkenaan. Pada Februari 2021, Mahkamah Tinggi mensabitkan beliau bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun serta denda, dengan tambahan hukuman penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 2023 membenarkan rayuan beliau dan mengetepikan sabitan itu, menyebabkan Isa dilepas dan dibebaskan ketika itu.
Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini membatalkan pembebasan tersebut dan mengembalikan sabitan serta hukuman asal, sekali gus menamatkan proses rayuan di peringkat tertinggi mahkamah negara.



