KUALA LUMPUR – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah disembah maklum oleh Kerajaan Negeri Selangor berhubung statistik pembinaan kuil Hindu tanpa kebenaran di Negeri Selangor sehingga 31 Januari 2026 iaitu sebanyak 687 buah kuil.
Dalam titahnya, Sultan Sharafuddin memaklumkan jumlah ini membabitkan 388 buah kuil yang dibina di tanah milik kerajaan manakala 299 buah kuil dibina di atas tanah milik persendirian.
“Jumlah kuil tanpa kebenaran ini adalah tinggi jika dibandingkan dengan populasi masyarakat India beragama Hindu sekitar lebih kurang 11.3 peratus di Negeri Selangor.
“Jumlah ini pun tidak mengambil kira jumlah kuil di seluruh negeri Selangor yang telah didirikan secara sah yang telah mendapat kebenaran pihak berkuasa negeri Selangor,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin bertitah demikian merujuk kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 7 Februari 2026 yang tidak bersetuju dengan pembinaan mana-mana rumah ibadat yang dibina tanpa mengikuti peraturan dan undang-undang yang ditetapkan telah mendapat sokongan sepenuhnya daripada Sultan Selangor.
Pendirian ini ditegaskan sekali lagi oleh Perdana Menteri ketika beliau menghadap Sultan Selangor pada 8 Februari 2026.
“Pendirian tegas Kerajaan Persekutuan seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri adalah selari dengan prinsip dan pendekatan yang sentiasa ditekankan oleh Sultan Selangor iaitu memastikan setiap pembangunan yang dijalankan adalah mengikut undang-undang yang berkuat kuasa dan tadbir urus yang baik.
“Perkara ini juga harus dipatuhi dalam setiap pembinaan dan pembangunan rumah-rumah ibadat khususnya kuil-kuil Hindu agar ia dilaksanakan dengan teratur dari aspek perundangan dan selaras dengan perancangan bandar yang mampan dan terancang,” titah baginda.
Justeru, memandangkan Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam di Negeri Selangor sentiasa mengambil berat sensitiviti masyarakat berbilang kaum dan agama selaras dengan prinsip toleransi yang menjadi teras keharmonian masyarakat di Negeri Selangor.
Sultan Selangor sentiasa menekankan bahawa setiap rumah ibadat perlu dibina berdasarkan permohonan yang dibuat dan mendapat kelulusan sah daripada pihak kerajaan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta mengikut segala perundangan dan garis panduan yang telah ditetapkan.
“Sebarang pembinaan mana-mana rumah ibadat tanpa kelulusan yang sah yang melibatkan pencerobohan terhadap tanah kerajaan dan persendirian akan menimbulkan pertelingkahan antara penganut pelbagai agama yang akhirnya menyebabkan ancaman dan risiko keselamatan kepada negeri dan negara ini.
“Kerajaan dan PBT pula diingatkan supaya sentiasa meneliti setiap permohonan pembinaan rumah ibadat agar diproses secara telus, adil dan tersusun tanpa mengetepikan peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
“Aspek pemantauan juga perlu sentiasa dilakukan oleh pihak berkuasa agar pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran di tanah-tanah kerajaan dan tanah persendirian dapat dibanteras dan dikawal,” titahnya.



