Gesaan Ronald tidak mencerminkan tanggungjawab politik, Yazid persoal prestasi PN Sabah

KUALA LUMPUR, 10 Februari 2026 — Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Mohd Yazid Mohd Yunus menyifatkan gesaan Datuk Seri Ronald Kiandee supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Presiden BERSATU sebagai kenyataan yang tidak mencerminkan prinsip tanggungjawab dan kejujuran politik.

Yazid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Lepar, Pahang, berkata, dalam keadaan parti berdepan tekanan, Ronald memilih untuk menuding jari kepada kepimpinan pusat berbanding bermuhasabah terhadap prestasi sendiri di Sabah.

Menurut beliau, keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah tidak boleh dinafikan apabila di bawah kedudukan Ronald sebagai Ketua Perikatan Nasional Sabah dan tokoh utama BERSATU negeri itu, lebih 90 peratus kerusi yang dipertandingkan mengalami kekalahan.

“Daripada 42 calon yang bertanding, 36 calon hilang deposit. Ini bukan sekadar kekalahan biasa tetapi tamparan besar terhadap kredibiliti kepimpinan negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa Ronald sendiri tewas di DUN Sugut dengan majoriti 2,783 undi, sekali gus mempersoalkan kewajaran beliau mendesak Presiden parti berundur.

“Seorang pemimpin yang gagal mempertahankan sokongan di kubu sendiri sewajarnya tampil dengan rasa tanggungjawab dan rendah diri, bukannya mendesak orang lain mengosongkan jawatan,” katanya.

Yazid berkata tindakan yang lebih bermaruah ialah mengakui kelemahan, membentangkan laporan post-mortem secara terbuka serta mempertimbangkan untuk meletakkan jawatan sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Sabah.

Sebaliknya, menurut beliau, Ronald memilih untuk mengalihkan perhatian dengan mendesak Presiden parti berundur.

Sebagai Naib Presiden BERSATU, Yazid turut mempersoalkan sumbangan konkrit Ronald di peringkat nasional, termasuk inisiatif strategik untuk memperluas sokongan serta gerakan tersusun bagi memperkukuh akar umbi.

“Setakat ini tiada pembaharuan besar, tiada lonjakan signifikan dan tiada naratif nasional yang digerakkan hasil kepimpinan beliau sebagai Naib Presiden,” katanya.

Beliau menegaskan jawatan Naib Presiden bukan sekadar gelaran, sebaliknya datang bersama tanggungjawab memperkukuh organisasi, menyatukan pimpinan negeri dan menjadi benteng mempertahankan parti ketika berdepan serangan.

“Jika peranan itu tidak dilaksanakan dengan berkesan, maka tidak adil untuk menyalahkan Presiden semata-mata atas segala kelemahan,” katanya.

Yazid menambah bahawa standard akauntabiliti yang mahu dikenakan ke atas Presiden juga perlu terpakai kepada Naib Presiden dan Ketua Negeri.

Menurut beliau, BERSATU tidak akan dipulihkan melalui retorik atau desakan bermotif politik, sebaliknya hanya akan kembali kukuh apabila setiap pimpinan sanggup memikul tanggungjawab atas prestasi masing-masing.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat