KENINGAU – Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi akan mengadakan program-program yang berteraskan Sains, Teknologi dan Inovasi bagi memupuk minat masyarakat terutama dikalangan kanak-kanak.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Arthur Joseph Kurup menyeru agar institusi Pendidikan awal kanak-kanak seperti Tabika Kemas akan turut serta dalam membantu menyuburkan minat anak-anak kecil terhadap Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).
Beliau yang juga ahli parlimen Pensiangan Itu menyifatkan anak-anak merupakan aset negara yang bernilai dan bakal menjadi pemacu negara di masa handapan.
“Teruskanlah kecemerlangan itu sampai bila-bila kerana hakikatnya kita sedang menghadapi pelbagai cabaran baru yang menuntut kita supaya sentiasa meneroka ilmu terkini, melakukan inovasi dan berusaha untuk melangkaui sempadan kecemerlangan.
“Usaha ini bagi menyokong Hasrat Negara yang meletakkan sasaran untuk berada dalam kalangan 20 negara teratas di dunia dalam bidang ekonomi, kesejahteraan rakyat dan kreativiti serta inovasi menjelang 2050,” katanya .
Beliau berkata demikian bersempena Majlis Apresiasi TABIKA KEMAS Parlimen Pensiangan yang memberi pengiktirafan prestasi cemerlang kepada 291 kanak-kanak TABIKA KEMAS di DUN Sook, Tulid dan Nabawan, Sabah.
Arthur turut menyeru kepada ibu bapa agar berganding bahu dan bekerjasama dengan pihak sekolah dalam menjalankan apa sahaja aktiviti yang berkaitan.
Jelasnya tanpa kerjasama dan sokongan daripada pelbagai pihak terutama ibu bapa serta penjaga, sudah pasti setiap perancangan akan menemui jalan buntu.
“Untuk menuju ke arah itu, kita memerlukan perubahan besar, kesediaan dan pembangunan modal insan, perbelanjaan, pembudayaan serta berjiwa besar.
“Antara cara mencapai matlamat itu adalah dengan memupuk minat terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) sejak di peringkat sekolah lagi,” katanya.