Umno Sabah tak bergolak, itu cuma spekulasi melemahkan kesatuan parti – Bung Moktar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pengerusi Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin hari ini menafikan dakwaan berlaku pergolakan dalam Umno Sabah hingga memaksa Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ke negeri di bawah bayu itu, Ahad lalu.

Bung malah menyifatkan ia hanya spekulasi yang digembar-gemburkan pihak tertentu dan sebagai cubaan untuk melemahkan kesatuan Umno Sabah.

“Rutin presiden parti apabila ke Sabah, akan ambil peluang berjumpa pemimpin UMNO Sabah, selain membincangkan isu semasa, terutama persediaan parti menghadapi PRN akan datang,” lapor BH di Kota Kinabalu pada Rabu.

Sehubungan itu, Bung meminta ahli Umno Sabah tidak mudah percaya dakwaan kononnya ada pergolakan dalam parti kerana isu itu dicetuskan pihak lain dan hanya cakap-cakap kosong bagi melemahkan Umno.

Sementara itu, Bung mengulangi pendirian Umno Sabah untuk mengukuhkan terlebih dahulu parti sebelum memikirkan soal kerjasama dengan parti lain bagi menghadapi PRN akan datang.

PRN17 di Sabah dijangka diadakan dalam tahun ini walaupun penggalnya hanya akan berakhir pada September 2025.

“UMNO Sabah akan mengadakan siri jelajah ke seluruh bahagian bermula awal bulan depan. Kita beri keutamaan soal kekuatan parti dan melalui siri jelajah ini, kita akan pantau dan lihat sendiri kekuatan parti dari segi persediaan di samping menjelaskan isu semasa kepada ahli akar umbi,” katanya.

Katanya, Ahmad Zahid juga sudah menjelaskan bahawa soal gabungan Umno dengan parti lain hanya akan ditentukan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan.

Sebelum ini, Umno Sabah menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Parti Warisan (Warisan) bagi menentang Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada PRN17.

Namun belum ada kenyataan rasmi berkaitan kerjasama itu, tetapi Bung juga sebelum ini dipetik berkata ‘kerjasama itu penting’, manakala Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal melihatnya tidak mustahil dan parti itu tiada masalah bekerjasama dengan Umno demi kepentingan rakyat Sabah.

Jika kerjasama itu menjadi kenyataan, kedua-dua parti yang sama-sama membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan bakal menentang GRS dan Pakatan Harapan (PH) yang membentuk kerajaan negeri, selain turut menjadi rakan dalam Kerajaan Perpaduan.

Malam Isnin lalu, Zahid mengadakan pertemuan dengan pemimpin Umno Sabah, dipercayai bagi membincangkan perkembangan semasa politik di sebalik desas-desus ada kemelut melanda parti itu.

Perjumpaan di antara Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri dilapor bermula jam 8.30 malam, antara lain dihadiri Pengerusi Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Bendaharinya, Datuk Seri Salleh Said Keruak; Setiausaha, Datuk Jafry Ariffin dan Ketua Penerangan, Datuk Suhaimi Nasir.

Ketika ditemui media kelmarin, Ahmad Zahid bagaimanapun menegaskan, tiada sebarang pergolakan politik besar di Sabah ketika ini dan pertemuannya dengan pimpinan Umno negeri bagi mengemas kini beberapa kerja politik, terutama penyusunan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Namun, beliau juga memaklumkan, UMNO boleh menjalin kerjasama dengan mana-mana parti kerana politik itu pragmatik, dengan syarat kerajaan yang ditubuhkan haruslah mendapat sokongan daripada rakyat secara majoriti.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat