Cubaan rasuah Agong, Ketua Pembangkang buat laporan polis

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pejabat Ketua Pembangkang membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini, susulan dakwaan dan fitnah mengaitkan Perikatan Nasional (PN) dan pemimpinnya cuba merasuah Yang di-Pertuan Agong seperti tular di media sosial.

Setiausaha Sulit kepada Datuk Seri Hamzah Zainudin, Ahmad Ikhwan Fadhli, berkata laporan polis dibuat bagi membersihkan imej baik Ketua Pembangkang merangkap Setiausaha Agung PN yang terjejas kerana fitnah yang dilemparkan.

Beliau menggesa pihak tidak bertanggungjawab dengan sengaja mereka-reka cerita mengenai dana RM1 bilion untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan termasuk menuduh pembangkang mendalangi Langkah Dubai supaya berhenti memainkan fitnah itu.

Selain itu, beliau juga kecewa dengan sikap pilih kasih kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pihak yang memainkan isu 3R (kaum, agama dan raja) kerana lebih cenderung menghukum pemimpin pembangkang saja tetapi tidak mengambil apa-apa tindakan ke atas pemimpin mahupun penyokong kerajaan.

“Kami kesal kerana kerajaan tidak menunjukkan kesungguhan dalam menyekat penyebaran fitnah yang membabitkan nama baik Yang di-Pertuan Agong. Artikel berkaitan dimuatnaik pada 8 Januari lalu dan sehingga kini masih ada dan boleh diakses.

“Apa respon daripada pihak kerajaan dan penyokong kerajaan? Tiada. Dimanakah Menteri Komunikasi? Dimanakah Menteri Undang-Undang? Dimanakah Menteri Digital? Tiada (tindakan diambil).

“Sedangkan mereka bercakap mengenai isu 3R tetapi itu jelas memberi implikasi negatif terhadap imej Yang di-Pertuan Agong tidak disekat pula bahkan dibiarkan. Adakah ini sengaja?

“Saya pasti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Kementerian Komunikasi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai segala kepakaran dan keupayaan untuk menjejak penderhaka yang memfitnah Yang di-Pertuan Agong,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan polis pagi tadi.

Ditanya adakah akan menyaman pengguna media sosial termasuk pemilik portal yang memuatnaik artikel memfitnah Ketua Pembangkang, Ahmad Ikhwan berkata perkara itu akan dibincangkan dengan peguam untuk mempertimbang tindakan perundangan selanjutnya terhadap mereka.

Justeru, beliau berharap kerajaan tidak pilih bulu sekali gus mengambil tindakan terhadap pihak termasuk yang pro kerajaan, dikesan melakukan provokasi atau sengaja mengapi-api isu berkait 3R.

“Saya minta polis dengan segala kekuatan menggunakan kepakaran yang ada untuk menjejaki orang yang menulis artikel ini, orang yang memuat naik artikel ini dan menyebarkan dengan tujuan jahat.

“Saya minta semua rakyat Malaysia berdoa agar fitnah ini dihentikan termasuk Langkah Dubai yang mengaitkan nama baik Yang di-Pertuan Agong perlu dihentikan… tiada kena mengenai dengan Ketua Pembangkang

“Jangan hanya semut dekat Dubai dia nampak, gajah depan mata dia tak nampak. Ini pesanan kepada kerajaan,” katanya.

Semalam, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar IBrahim memita pihak berkuasa menyiasat dakwaan seorang pemimpin PN terbabit dalam cubaan merasuah individu berpengaruh dan ahli Parlimen untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

Dakwaan itu yang disiarkan sebuah blog mendakwa pemimpin PN yang juga seorang ahli Parlimen didakwa menyediakan dana berjumlah RM1 bilion untuk memberi rasuah kepada ahli Parlimen kerajaan, agar menarik balik sokongan kepada perdana menteri.

Datuk Azman Abidin berkata pihaknya berharap polis boleh menjalankan siasatan terhadap dakwaan itu jika ia dikatakan benar.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat