Buktikan majoriti di Dewan Rakyat bukan berselindung di sebalik titah diraja

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Sokongan terhadap seorang Perdana Menteri hendaklah ditentukan melalui undi percaya (vote of confidence) di Parlimen dan bukan melalui akuan berkanun (SD).

Justeru, wartawan veteran, Datuk A. Kadir Jasin bersetuju dengan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang mengemukakan saran itu.

“Jangan pakai lagilah cara pintu belakang, tebuk atap atau guna nama Yang di-Pertuan Agong. Kalau orang ramai tidak setuju atau tidak percaya cara-cara ini, semua yang terlibat akan dapat nama busuk.

“Setiap kali Yang di-Pertuan Agong bertitah atau Perdana Menteri berselindung di sebalik titah diraja, konotasinya kedudukan beliau dalam keadaan tidak kukuh,” kata A. Kadir.

A.Kadir menyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sekian lama memperagakan diri dan ditonjolkan sebagai seorang demokrat dan insan pembaharuan (renaissance man) yang komited kepada ketelusan dan kebertanggungjawaban, boleh melakukan anjakan demokrasi dengan mendedahkan diri beliau kepada undi percaya di Parliamen.

“Maksud saya undi percaya khusus, bukan secara tidak langsung melalui undian belanjawan misalnya.

“Daripada nada suara, tingkah-laku dan tindak-tanduk penyokong kerajaan, saya rasa beliau tidak perlu bimbang menghadapi undi percaya. Beliau sendiri kata, kerajaan mendapat sokong dua pertiga.

“Untuk jangka masa panjang, mungkin kita fikirkan pindaan Perlembagaan bagi mewajibkan calon Perdana Menteri disahkan oleh Parlimen sebelum mengangkat sumpah. Atau ahli dewan membuat usul percaya sebaik saja Perdana Menteri angkat sumpah,” katanya.

Menurut beliau, hendak langkah ke mana pun, silalah kerana itu adalah hak asasi setiap manusia yang bebas manakala yang sakit atau dipenjarakan itu cerita lain.

“Hendak buat langkah tukar kerajaan pun boleh asalkan ikut Perlembagaan dan dengan cara yang meyakinkan macam yang dicadangkan oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

“Hassan kata, sokongan terhadap seorang Perdana Menteri hendaklah ditentukan melalui undi percaya (vote of confidence) di Parlimen dan bukan melalui akuan berkanun (SD).

“Cakap Hassan ini boleh pakai pasal beliau bukan saja Ahli Parlimen tetapi beliau juga seorang peguam dan orang kanan Partai Keadilan Rakyat (PKR), iaitu parti Perdana Menteri.

“Hassan merujuk kepada Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi: “Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong”.

“Kalau pembangkang yakin Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, mereka boleh kemukakan usul undi tidak percaya terhadap beliau,” katanya.

Bahkan ujarnya, penyokong kerajaan pula boleh balas dengan kemukakan usul undi percaya terhadap beliau.

“Dengan cara itu, tidak perlulah guna kaedah pintu belakang yang bacul macam SD atau guna nama Yang di-Pertuan Agong.

“Lagipun, kalau pergi menghadap dengan SD, rakyat jelata masih syak wasangka. Rakyat tak nampak. Tapi kalau buat di Parlimen, satu dunia jadi saksi,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat