Projek fidlot lembu itu zaman Mukhriz – Sanusi

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan tidak mempunyai maklumat berkaitan Projek Usahasama Ternakan Lembu Pedaging Secara Fidlot yang dilaksana pada 2020.

Kata Sanusi, projek berkenaan dirancang sebelum beliau mengambil alih kepimpinan kerajaan negeri dengan Menteri Besar ketika itu adalah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Bagaimanapun katanya, Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasruddin yang didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam, adalah salah seorang Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) ketika itu.

“Saya tak tahu, (kejadian) itu zaman sebelum saya jadi Menteri Besar. Saya tak tahu kejadian dan peristiwa itu, saya pun tak pasti dan tengok surat khabar saja.

“Tapi yang bagi (rasuah) orang lain, yang ambil orang lain, yang kena orang lain. Itu pelik juga, dia (Azman) pun ada buat sidang media terangkan pendakwaan bermotif politik,” katanya pada sidang media di Alor Setar, lapor Harian Metro pada Selasa.

Terdahulu beliau merasmikan Majlis Peluncuran Kedah Digital Blueprint 2025-2050 di Wisma Darul Aman.

Mengulas lanjut, Sanusi memaklumkan bahawa Projek Usahasama Ternakan Lembu Pedaging Secara Fidlot itu sepatutnya di bawah kendalian Kedah Agro Holding Berhad (KAHB).

Jelasnya, KAHB bagaimanapun ditutup operasinya tahun lalu, dan syarikat itu kini diambil alih pihak swasta tanpa sebarang pembabitan kerajaan negeri ketika ini.

“Saya tak ada maklumat, Kedah Agro sudah ditutup. Bila tutup makna tak ada aktiviti sudah, tutup buku. Kedah Agro tutup apabila kita buat Skim Pemisahan Sukarela (VSS) dan berhentikan operasi.

“Sekarang ada syarikat swasta ambil alih Kedah Agro. Ini kes lama sebelum 2020, Menteri Besar orang lain, Exco pun orang lain. Beliau salah seorang Exco pada masa itu,” katanya.

Semalam, Azman dan ahli perniagaan, Amar Assuat Abu Bakar didakwa atas pertuduhan rasuah berhubung Projek Usahasama Ternakan Lembu Pedaging Secara Fidlot di Ladang Fidlot Kedah Agro.

Mengikut pertuduhan, Azman didakwa bersubahat dengan Amar Assuat untuk menerima RM400,000 daripada seorang individu sebagai dorongan mendapatkan projek ternakan lembu itu daripada Kedah Agro Holding Berhad pada 23 Jun 2020 di Bandar Baru Bangi.

Azman bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat