KUALA LUMPUR – Zaman kerajaan menganiaya pemimpin pembangkang secara terang-terangan sudah berlalu.
Era pemerintahan kini, ada bukti maka ada pendakwaan dan apabila ada pendakwaan maka jawablah di mahkamah, kata Datuk Mahfuz Omar.
Naib Presiden Amanah mengingatkan jika seseorang itu dihadapkan ke muka pengadilan bukan salah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau salah pendakwa raya juga bukan salah kerajaan apabila seseorang diseret oleh perbuatannya sendiri.
“Dakwaan Ahli Parlimen Padang Serai bahawa penahanan dan pendakwaan beliau adalah hasil campur tangan politik bukan sahaja tidak berasas, tetapi memperbodohkan rakyat dengan naratif lama yang sudah tidak laku.
“Apa yang berlaku hari ini langsung tidak menyerupai zaman kegelapan pentadbiran dahulu, ketika kerajaan benar-benar mencengkam badan penyiasatan, pendakwaan dan kehakiman.
“Kes sudah didakwa di mahkamah tapi masih tuduh kerajaan? Ini bukan hujah, ini sindrom penafian politik.
“Bila pertuduhan sudah dibacakan di Mahkamah Shah Alam, SPRM dan Pendakwa Raya telah bertindak mengikut bukti. Kerajaan tidak campur tangan. Mereka yang masih menjerit “politikal” selepas kes masuk mahkamah sebenarnya cuba mencipta alasan untuk lari daripada realiti.
“Kalau ikut logik seperti ini, sampai saman trafik pun nanti kena salahkan Putrajaya,” bidas Mahfuz.
Menurut pemimpin Pakatan Harapan (PH) itu lagi, zaman kerajaan campur tangan dalam penyiasatan, pendakwaan dan kehakiman telah BERLALU. Mangsa terakhirnya bukan PN, tapi dua tokoh besar negara.
“Ada satu kepelikan besar bila pembangkang hari ini mendakwa kerajaan campur tangan dalam kes mereka.
“Jika benar mereka faham sejarah, mereka tahu zaman campur tangan kerajaan dalam sistem keadilan telah berlalu dan PN bukan mangsanya.
Mangsa sebenar campur tangan kerajaan dahulu ialah Tun Salleh Abas – Ketua Hakim Negara sendiri dipecat.
“Dalam krisis kehakiman 1988, kerajaan ketika itu menekan dan mencampuri institusi kehakiman sehingga Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas dan beberapa hakim kanan dipecat melalui tribunal yang penuh kontroversi. Itu campur tangan sebenar. Itu penyalahgunaan kuasa yang nyata.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim – Perdana Menteri hari ini turut menjadi mangsa era gelap tersebut. Beliau pernah merasai sendiri bagaimana penyiasatan, pendakwaan dan mahkamah boleh disalahguna untuk menghancurkan musuh politik. Itulah campur tangan sebenar. Itulah kezaliman yang terbukti dalam sejarah.
“Jadi, siapa pembangkang hari ini untuk mendakwa mereka ‘mangsa’ sedangkan sistem sekarang beroperasi jauh lebih bebas berbanding zaman mereka sendiri pernah diam, setuju dan tumpang kuasa?
“Pembangkang hari ini menjerit “kezaliman” walaupun kes mereka diproses mengikut undang-undang oleh institusi bebas.
“Kononnya dizalimi, padahal mereka sendiri tidak pernah mengalami apa yang generasi pemimpin negara dahulu terpaksa lalui,” kata Mahfuz.
Ujar beliau, pembangkang bukan lawan kerajaan sebaliknya mereka lawan fakta, logik dan sejarah negara sendiri.
“SPRM menjalankan siasatan ikut aduan dan bukti. Pendakwa Raya buat keputusan bebas. Mahkamah tentukan tanpa campur tangan eksekutif.
Tapi pembangkang tetap ulang skrip basi: “ini politik!” Menggelikan. Menghina intelektual rakyat dan memperlihatkan betapa dangkalnya hujah mereka.
“Imej PN rosak bukan sebab kerajaan. Imej PN rosak sebab pemimpin PN sendiri. Setiap minggu ada kes baru. Setiap bulan ada isu baharu.
“Kalau mahu bersihkan imej, mulakan dalam parti sendiri. Jangan salahkan kerajaan bila kes timbul hasil perbuatan sendiri.
“Berhenti berlakon sebagai mangsa politik. Rakyat sudah terlalu muak.
“Cukup-cukuplah dengan drama air mata dan skrip “saya difitnah”.
“Jika benar tidak bersalah, buktikan di mahkamah. Jangan sembunyi di sebalik persepsi,” tegas beliau.



