KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh membangkitkan persoalan kepada Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkait keperluan melantik Ramssol Group Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya Rider Gate Sdn Bhd yang dilantik secara rasmi oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) sebagai ejen kutipan yang diberi kuasa oleh Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ).
“Satu persoalan kepada YB Menteri Pengangkutan Anthony Loke, selama ini yang kita bayar melalui apps JPJ tu siapa yang uruskan?
“Jika pihak JPJ sendiri yang uruskan apakah keperluan untuk melantik ejen kutipan ya?
“Ke memang semua zaman ini nak kena lantik ejen? Tahniah lah yer,” ucap Akmal sinis.
Dalam satu kenyataan semalam, Ramssol Group berkata melalui portal aplikasi Rider Gate, rakyat Malaysia kini boleh mengakses platform perkhidmatan yang digital sepenuhnya, mudah dan selamat untuk transaksi penting JPJ termasuk pembaharuan lesen kenderaan bermotor, pembayaran saman trafik dan pindah hak milik kenderaan dengan caj nominal bagi setiap transaksi.
Sistem itu juga menyediakan pelaporan secara masa nyata kepada JPJ dan Kementerian Pengangkutan untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti sepenuhnya.
“Kerjasama ini meletakkan Ramssol di barisan hadapan transformasi digital negara dalam sektor pengangkutan dan kami bersedia sepenuhnya untuk menyediakan perkhidmatan yang boleh dipercayai, inovatif dan berpusatkan kepenggunaan kepada orang ramai,” kata Pengarah Urusan Kumpulan Ramssol, Datuk Wira Cllement Tan.
Pada masa hadapan, Ramssol merancang untuk terus memperkukuh rangkaian teknologinya, melabur dalam penambahbaikan platform termasuk aplikasi kecerdasan buatan (AI) dan meneroka kerjasama strategik yang dapat meningkatkan lagi pengalaman pengguna dan menggalakkan penerimaan platform itu.
Kumpulan itu menambah bahawa ia kekal fokus untuk mengembangkan portfolio penyelesaian digitalnya dalam bidang-bidang yang mengutamakan kebolehpercayaan dan tadbir urus data.



