KUALA LUMPUR – Pengerusi DAP Sabah Datuk Phoong Jin Zhe menyangkal keras kononnya beliau ada mengutus surat kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor untuk mencadangkan ahli DAP negeri itu itu memegang jawaatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Jin Zhe menegaskan sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 29 Nov lalu, beliau tidak pernah menghantar sebarang surat kepada Hajiji.
“Tular satu “surat” di media sosial yang didakwa sebagai surat saya kepada Ketua Menteri untuk mencadangkan ahli parti memegang jawatan dalam kerajaan.
“Saya ingin menegaskan bahawa sejak selepas pilihan raya, saya tidak pernah menghantar sebarang surat kepada Ketua Menteri.
“Draf surat yang kelihatan seperti dirakam daripada skrin komputer itu bertarikh 5 Disember, dan tidak mengandungi tandatangan saya serta tiada cop rasmi,” jelas beliau dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut Jin Zhe, pada malam 7 Disember, DAP Sabah telah mengadakan mesyuarat dan sekali lagi menegaskan pendirian untuk tidak menyertai kerajaan, dan perkara ini turut dipersetujui oleh kepimpinan parti di peringkat negeri.
“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, DAP Sabah akan kembali kepada rakyat, berkhidmat untuk mereka, selangkah demi selangkah, untuk mengembalikan semula kepercayaan rakyat,” ulang beliau.
Terdahulu, tular di media sosial surat didakwa dikirim pejabat Jin Zhe kepada Hajiji, dengan disertakan cadangan pelantikan pengerusi, timbalan pengerusi ataupun ahli lembaga pengarah untuk GLC kerajaan Sabah.
Minggu lalu, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook dilaporkan berkata parti itu tidak akan menerima sebarang jawatan dalam kerajaan Sabah, termasuk Adun lantikan serta akan terus berkhidmat secara aktif kepada rakyat negeri itu.
DAP kalah semua lapan kerusi yang ditandinginya pada PRN Sabah ke-17 itu. Ini kali pertama sejak 2004, parti itu tiada wakil dalam DUN Sabah.
Lapan kerusi itu ialah Luyang, Kapayan, Tanjung Papat, Tanjung Aru, Kemabong, Elopura, Sri Tanjong dan Likas.



