Azeez Rahim Bebas Pertuduhan Rasuah, AMLA

- Advertisement -

CYBERJAYA: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim daripada tiga pertuduhan rasuah dan enam pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan projek jalan raya di Perak serta Kedah.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan melalui notis usul yang difailkan oleh pasukan pembelaan agar bekas Ahli Parlimen Baling itu dibebaskan serta-merta daripada semua pertuduhan.

Beliau membenarkan pemohonan tersebut selepas pihak pendakwaan tidak mengemukakan bantahan.

Terdahulu, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Azeez memaklumkan, pihaknya telah mengemukakan permohonan dan afidavit sokongan kepada pihak pendakwaan selaku responden berhubung permohonan itu.

Menurut Amer, dalam afidavit sokongan, pemohon antara lain menyatakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melengkapkan siasatan terhadap Azeez (pemohon) manakala aset yang dirampas sebelum ini dipulangkan kepadanya.

“Surat daripada SPRM bertarikh 26 Oktober lalu memaklumkan siasatan telah dilengkapkan manakala perkara yang masih tergantung pada peringkat ini adalah permohonan notis usul di hadapan mahkamah,” ujarnya lapor Utusan Malaysia.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim memaklumkan pihak pendakwaan telah menerima permohonan tersebut dan tidak mengemukakan sebarang bantahan.

“Memandangkan tiada bantahan daripada pihak pendakwaan, permohonan notis usul dibenarkan dan pemohon dibebas daripada pertuduhan,” ujar Azhar.

Dalam notis usul yang difailkan pada 1 Disember lalu, pemohon menyatakan, pihak SPRM memutuskan untuk tidak mengambil sebarang tindakan lanjut terhadap kes itu kerana siasatan telah selesai manakala aset yang dirampas telah dipulangkan.

Oleh yang demikian, pemohon menyatakan adalah tidak munasabah pertuduhan terhadapnya tergantung dan berlarutan begitu sahaja tanpa suatu tempoh yang tidak dapat ditentukan.

“Hal tersebut akan memprejudis dan menjejaskan kehidupan pemohon termasuk kesihatan fizikal, mental, reputasi dan kerjanya,” demikian menurut notis usul itu.

Pada 23 September lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan (DNAA) Azeez daripada tiga pertuduhan rasuah dan enam pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah.

Hakim Azura Alwi memutuskan demikian selepas berpuas hati wujud alasan kukuh pada tahap ini untuk mengeluarkan perintah DNAA bagi membolehkan siasatan disempurnakan berkaitan bukti baharu yang terkandung dalam representasi pihak pembelaan.

Azura berpuas hati, alasan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan memuaskan dan tertuduh wajar dilepas tanpa dibebaskan bagi membolehkan SPRM menyempurnakan siasatan berdasarkan bukti baharu yang diperolehi.

Mahkamah Sesyen diberitahu, Azeez mengemukakan representasi terbaharu pada 5 September lalu ekoran keputusan Mahkamah Rayuan pada hari sama yang membatalkan empat daripada 10 pertuduhan pengubahan haram yang dikenakan terhadap anak guamnya.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Kamaludin Md. Said membenarkan sebahagian rayuan Abdul Azeez dan menggugurkan empat pertuduhan pengubahan wang haram iaitu pertuduhan ketiga, ketujuh, kelapan dan kesembilan.

Panel itu bagaimanapun mengekalkan sembilan pertuduhan iaitu tiga rasuah dan enam pengubahan wang haram.

Azeez pada asalnya didakwa pada 16 Januari 2019 atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta dan 10 tuduhan pengubahan wang haram.

Pertuduhan rasuah berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah melibatkan Lebuhraya Persisiran Pantai Baru dan kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak).

Bagi ketiga-tiga pertuduhan rasuah, Azeez didakwa menerima suapan daripada syarikat Menuju Asas Sdn. Bhd. iaitu RM1.2 juta bagi pertuduhan pertama dan masing-masing RM2 juta bagi pertuduhan kedua dan ketiga.

Suapan itu didakwa diterima melalui akaun miliknya sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek jalan raya daripada Kerajaan Malaysia yang nilainya mencecah RM1.47 bilion.

Kesalahan pertama didakwa dilakukan di CIMB Bank Jalan Tun Perak pada 8 Disember 2010, kesalahan kedua di Affin Bank Bhd. di Pusat Bandar Puchong pada 13 Jun 2017 manakala kesalahan ketiga pada 10 April 2018 juga di Puchong, Selangor.

Dia didakwa di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Azeez turut dibicarakan terhadap baki enam pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Bagi lima pertuduhan, Azeez didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM530,000 daripada syarikat yang sama di antara 6 September 2010 dan 31 Disember 2015 di dua bank berbeza iaitu di Jalan Raja Chulan dan Jalan Maarof, Bangsar.

Satu lagi pertuduhan, Azeez didakwa memiliki kenderaan Toyota Vellfire bernilai RM442,414.60 yang diperolehi daripada syarikat Menuju Asas di No. 66A Jalan Kampung Attap pada 7 Mac 2012.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat