Pawagam ‘bernafas’ semula

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Selepas lebih sebulan menghentikan sementara operasi, pengusaha pawagam sepakat membuka semula premis hiburan itu mulai 16 Disember ini dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Keputusan beroperasi semula itu diambil sebulat suara Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) yang sebelum ini mengeluh akibat penyusutan sehingga 90 peratus pengunjung sejak pandemik COVID-19 melanda, Mac lalu.

Pemilik rangkaian pawagam Golden Screen Cinemas (GSC) mengumumkan operasi premis di sembilan lokasi di seluruh negara yang ditamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kembali seperti biasa, mulai 16 Disember ini.

Pengurus Perhubungan Awam dan Jenama, GSC, Sharmine Ishak, berkata pihaknya mengalu-alukan kehadiran kaki wayang namun dengan pelaksanaan SOP ketat.

“Filem Wonder Woman 1984 lakonan Gal Gadot sedia menanti penonton mulai 16 Disember ini.

“Kaki wayang jangan bimbang kerana pawagam kami akan dibersihkan sepenuhnya serta dinyah kuman setiap masa sepanjang hari.

 

Sharmine berharap pengunjung dapat mematuhi SOP ditetapkan sebaik kerajaan memberi kebenaran kepada pengusaha pawagam untuk beroperasi pada 16 Disember ini. Foto Ihsan Sharmine Ishak
Sharmine berharap pengunjung dapat mematuhi SOP ditetapkan sebaik kerajaan memberi kebenaran kepada pengusaha pawagam untuk beroperasi pada 16 Disember ini. Foto Ihsan Sharmine Ishak

 

“Kami mahu memberikan penonton pengalaman terbaik dan selesa,” katanya kepada BH Online.

Sharmine berkata, pihaknya berharap kaki wayang terus mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.

“Saya yakin semua sudah biasa dengan SOP dan tidak ambil mudah.

“Ini termasuk mengambil bacaan suhu, penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka setiap masa,” katanya.

Sharmine berkata, selain Wonder Woman 1984, beberapa filem lain bakal mengisi slot tayangan seperti Demon Slayer, Shock Wave 2 dan Your Eyes Tell, tidak lama lagi.

“Penonton boleh merujuk kemas kini pada media sosial GSC untuk maklumat dan perkembangan lanjut,” katanya.

Sementara itu, jurucakap MBO Cinemas memberitahu, pihaknya tidak sabar membuka pintu untuk pencinta filem mulai 16 Disember depan.

MBO turut menayangkan filem Wonder Woman 1984 di enam lokasi seperti iaitu di Sungai Petani, Taiping, Melaka, Kuantan, Kluang Johor dan Kuching.

“Jika ada cawangan lain yang akan dibuka, kami akan memaklumkan dari masa ke semasa.

“Semuanya bergantung kepada setiap negeri yang terikat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya.

Namun, jurucakap itu berkata, MBO akan terus mematuhi SOP ditetapkan di semua premis.

“Kami melaksanakan peraturan beratur pada jarak satu meter dan melakukan sanitasi pawagam sebelum dan selepas tayangan.

“Pemeriksaan suhu dan penggunaan aplikasi MySejahtera juga menjadi suatu kemestian sebelum memasuki premis kami.

“Pelanggan juga diminta memakai pelitup muka ketika menonton wayang kecuali ketika makan dan minum,” katanya yang turut menggalakkan penonton melalui tiket secara online.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat