KUALA LUMPUR – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mencadangkan untuk berkolaborasi dengan Jabatan Pertanian Sabah dalam penyelidikan varieti baharu di Sabah bagi meningkatkan hasil tanaman padi tempatan.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata ini disebabkan penggunaan benih padi NMR 152 yang dihasilkan Jabatan Nuklear Malaysia belum mendapat perakuan daripada Jabatan Pertanian Sabah untuk dibawa masuk ke negeri itu.
Selain itu katanya ini bagi meningkatkan kembali hasil padi sabah yang merosot sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Buat masa ini, Nuklear Malaysia dalam usaha untuk membawa dan mengkomersialkan benih padi NMR152 di bumi Sabah untuk mempelbagaikan benih padi sedia ada bagi memberi lebih pilihan kepada pesawah.
“Cuma cabarannya ialah varieti ini perlu diperakukan oleh Jabatan Pertanian Sabah, maka kita tidak dibenarkan untuk membawa varieti tersebut untuk digunakan di bumi Sabah.
“Oleh itu, MOSTI mencadangkan untuk berkolaborasi dengan Jabatan Pertanian Sabah dalam penyelidikan varieti baharu diadakan di Sabah bagi meningkatkan hasil tanaman padi tempatan,” katanya.
Menurut beliau, penggunaan benih padi NMR 152 yang dihasilkan Jabatan Nuklear Malaysia menghasilkan sehingga 10 tan padi sehektar.
Arthur menambah, varieti padi NMR 152 mampu ditingkatkan dari 20% hingga 60% bergantung kepada lokasi, pengkelasan tanah dan juga kaedah pengurusan sawah yang baik.
“Kajian juga mendapati penggunaan benih padi ini mampu mengurangkan input pertanian seperti baja diantara 30% hingga 50%. Justeru itu, perkara ini boleh mengurangkan kos pengurusan sawah oleh petani.
“Diharap melalui usaha bersepadu ini, Jabatan Pertanian Negeri Sabah akan bersedia memudahcara kelulusan penggunaan secara meluas benih padi NMR152 di Sabah supaya hasil R&D atau home-grown technology yang bernilai jutaan ringgit ini dapat di nikmati oleh rakyat Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin mengenai sejauh mana pelaksanaan padi NMR152 dapat meningkatkan pengeluaran hasil padi di Sabah.
Riduan berkata ini bagi merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan Sabah sebagai jelapang padi kedua menjelang tahun 2030.