‘Welcome back’ versi bunga

- Advertisement -

MELEBARKAN nama di persada antarabangsa semestinya menjadi impian setiap artis Malaysia. Bermacam kaedah boleh diguna pakai tanpa perlu terbang jauh ke Barat demi merealisasikan hajat itu dengan adanya kecanggihan teknologi sekarang.

Tuah buat Bunga atau nama sebenar Noor Ayu Fatini, 20, apabila mendapat peluang memberi nafas baharu kepada lagu penyanyi terkenal Kanada, Ali Gatie menerusi Welcome Back. Ternyata versi baharunya itu sangat meyakinkan.

Menurut Bunga, dia sememangnya sangat berbesar hati dapat menyanyikan lagu itu dalam versi bahasa Malaysia. Baginya, kepercayaan diberikan syarikat rakaman Warner Music Malaysia sangat bermakna.

Mana tidaknya, dia sendiri mengaku sangat meminati Gatie yang pernah meledak dengan lagu It’s You. Justeru, peluang diberikan itu membuat kerjaya nyanyian Bunga lebih indah dengan pencapaian terbaharu itu.

“Saya amat terharu apabila diberikan peluang untuk menyanyikan semula lagu Welcome Back dengan artis kesukaan saya, Ali Gatie. Penghasilan lagu ini boleh dikatakan mudah kerana ia memang antara lagu kesukaan saya,” katanya.

Antara cabaran menyanyikan semula lagu artis lain, semestinya apabila ada pendengar membuat perbandingan. Hal itu terlalu subjektif dan bukan semua boleh menerima pembaharuan atau corak nyanyian berbeza yang dilakukan.

Namun begitu, Bunga percaya dengan kemampuannya selain dia memang berusaha untuk tampil dengan tulisan lirik terbaik versi baharu ini. Menurutnya, dia sangat seronok sepanjang proses rakaman dan berharap peminat turut menyukainya.

“Saya dapat menghasilkan lirik lagu ini dan merakamkan rangkapnya dengan senang dan semula jadi. Saya berharap pendengar dapat menerima dan menikmati lagu Welcome Back

versi ini, sebagaimana saya menikmatinya dengan baik,” katanya.

 

ALI Gatie meledak menerusi lagu It's You di seluruh dunia.
ALI Gatie meledak menerusi lagu It’s You di seluruh dunia.

 

Selepas melancarkan lagu duetnya bersama penyanyi, Amzar Sabri berjudul 300 Saat pada September lalu, anak jati Perak ini berhasil meraih perhatian daripada Gatie untuk bekerjasama menerusi projek terbaharu itu.

Lagu Welcome Back adalah nyanyian asal Gatie bersama Alessia Cara. Sekali gus, kerjasama bersama Bunga menjadi projek keduanya berpadu suara dengan artis dari luar mewakili Malaysia.

Selepas It’s You

, single ini berjaya meletakkan nama Gatie dalam gelanggang muzik R&B meskipun aktiviti promosinya terbantut sejak pandemik Covid-19 melanda dunia. Bukan saja di Barat, namanya di negara ini turut mencuri perhatian ramai.

Bunga pula sebaliknya muncul dengan keunikan tersendiri, apabila tampil sebagai penyanyi rap bertudung. Imejnya yang Muslimah serta gemar berbaju kurung, menjadi bualan seluruh Malaysia sejak tahun lalu.

Nama Bunga turut menjadi perhatian dalam pelbagai portal antarabangsa termasuk The New York Times. Ternyata imejnya, serta kualiti muzik dalam diri berjaya mengagumkan ramai di mata dunia.

Terdahulu, Bunga pernah muncul dalam program rap terkenal, 16 Baris pada musim kedua. Dia kemudian terjun ke dalam muzik arus perdana dengan mencipta legasi tersendiri selain mengumpul semakin ramai pengikut.

Haran Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat