Kenang jasa kumpulan revolusi

- Advertisement -

BARANGKALI selama ini, peminat hanya kenal Ella dan Shima sebagai penyanyi rock wanita yang menyerlah bersama kumpulan The Boys dan kemudiannya memilih bergerak solo.

Bagaimanapun industri muzik tanah air yang rancak berkembang sekitar era 1980-an sehingga 2000, menyaksikan kemunculan pelbagai kumpulan rock antaranya Revolusi yang menampilkan Emma sebagai penyanyi.

Selain Emma, kumpulan Revolusi yang ditubuhkan pada 1987 oleh Yazeed selaku pemain dram, turut dianggotai oleh Zul Haidi (gitar), Mohd Saidin (gitar) dan Roslan Jantan (bass).

Mereka pernah muncul dengan album berjudul Bayangan Misteri terbitan Mega Rekod dan edaran oleh Musical Sound Organisation Malaysia yang berjaya dijual sebanyak 50,000 unit.

Emma, 47, atau nama sebenar Rahimah Sukor kemudian mengundur diri untuk bergerak solo dan muncul dengan album berjudul Emma pada 1993 yang memuatkan lagu popular berjudul Kembalilah dan Redup Tak Berimbun yang berjaya dijual lebih 70,000 unit.

Dia seterusnya menghasilkan album berjudul Kecil Tapi Pedas pada 1995 dengan dua lagu popular berjudul Impian Semalam dan Kasih Tak Bertepi.

Sebagai mengenang jasa serta meraikan 30 tahun usia pembabitan kumpulan Revolusi, Emma kini tampil dengan album khas memuatkan semula lagu daripada album terdahulunya.

“Ini adalah sebuah projek istimewa saya yang lebih menjurus pada ‘tribute’ buat Revolusi, di mana saya mula membina karier nyanyian bersama mereka.

 

EMMA pernah popular dan mencipta nama dengan kumpulan rock Revolusi.
EMMA pernah popular dan mencipta nama dengan kumpulan rock Revolusi.

 

“Ia juga adalah penghargaan yang tak terhingga saya kepada kumpulan Revolusi untuk peminat yang selama ini tak jemu-jemu memberikan sokongan.

“Malah di mana saja saya berada meskipun, ketika pertunjukan pentas, masih ada peminat yang minta saya untuk menyanyikan lagu Bayangan Misteri,” katanya.

Menurutnya, lagu Bayangan Misteri yang dimuatkan dalam album ini turut diberi nafas baharu dan susunan muzik lebih segar dan sesuai dengan teknologi masa kini.

“Ia dibuat atas persetujuan kesemua anggota serta vokalis asal Revolusi iaitu Sanat Alpha.

“Penerbit dan susunan muzik oleh Gjie iaitu gitaris 6ixthsense serta Akim The Majistret bersama pemuzik lain.

“Manakala, anggota Revolusi iaitu Yazeed, Lan dan Sanat membantu dari segi adunan gubahan susunan muzik nafas baharu ini,” katanya yang pernah berduet dengan Muss menerusi lagu berjudul Dunia pada 2007.

 

KUMPULAN Revolusi ditubuhkan pada 1987.
KUMPULAN Revolusi ditubuhkan pada 1987.

 

Emma berkata, album ini akan dikeluarkan dalam format Boxset yang mengandungi lagu Bayangan Misteri dan T-shirt, manakala Hoodie pula akan dijual secara berasingan.

“Kesemua produk ini dikeluarkan secara terhad dan dijangka akan menemui peminat pada penghujung tahun ini.

“Peminat yang ingin mendapatkan pakej Boxset berharga RM69, boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi akaun Facebook saya, Emma Rockers Rahimah,” katanya.

Emma kini menguruskan syarikat miliknya dikenali Impact Music & Entertainment yang bertanggungjawab membantu artis-artis Malaysia, Singapura dan Indonesia untuk mengadakan persembahan mahupun promosi di Singapura.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat