KUALA LUMPUR – Latar belakang etnik dan sub-etnik di setiap kawasan antara kriteria diambil kira dalam pemilihan calon bertanding Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17).
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, calon mesti mengutamakan konsep ‘WALI’ merangkumi kriteria ‘winnable’ (boleh menang), ‘acceptable’ (diterima) dan ‘likeable'(disukai).
“BN Sabah sudah mengemukakan nama calon-calon berkenaan kepada saya dan kita sedang meneliti dari segi kebolehmenangan mereka yang dikemukakan.
“Kita mengambil kira kumpulan etnik dan sub-etnik yang akan diwakili oleh calon BN kerana selain lambang parti dan isu yang akan diketengahkan dalam manifesto, kita mengambil kriteria konsep WALI calon serta membuat kajian di lapangan berkenaan senarai itu,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengenai persediaan menjelang PRN17 Sabah susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Isnin lalu, lapor BH di Shah Alam.
Zahid berkata, BN menunggu tarikh rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan tarikh penamaan calon dan pengundian awal serta hari pengundian.
“Kita akan umumkan secara rasmi bilangan kerusi ditandingi pada hari penamaan calon nanti.
“Insya-Allah, ramai muka baharu dan tokoh muda akan diketengahkan, selain mengekalkan beberapa nama berprestasi tinggi pada pilihan raya lalu dan menterjemahkan perkhidmatan mereka di kawasan mereka,” katanya.



