KUALA LUMPUR – Harga runcit RON97, RON95 tanpa subsidi dan diesel tanpa subsidi masing-masing meningkat sebanyak 25 sen seliter bagi tempoh 10 hingga 16 September 2026.
Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan, kenaikan itu ditetapkan berdasarkan formula Mekanisme Harga Automatik (APM), susulan peningkatan ketara harga minyak mentah dunia ketika konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran kembali meruncing.
Menurut MOF, harga RON97 meningkat daripada RM4.25 kepada RM4.50 seliter, manakala RON95 tanpa subsidi naik daripada RM3.77 kepada RM4.02 seliter.
Harga diesel tanpa subsidi pula ditetapkan pada RM4.92 seliter berbanding RM4.67 seliter sebelum ini.
“Harga minyak mentah dunia meningkat ketara sepanjang tempoh pengiraan harga APM susulan konflik antara Amerika Syarikat dan Iran yang kembali meruncing serta peningkatan risiko gangguan bekalan petroleum melalui Selat Hormuz,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Harga minyak mentah Brent dilaporkan meningkat sepanjang tempoh pengiraan APM sebelum mencecah AS$97.31 setong pada Isnin.
Premium risiko geopolitik terhadap bekalan minyak dunia turut meningkat berikutan serangan berbalas yang berterusan antara AS dan Iran.
Pada masa sama, pasaran produk petroleum bertapis dunia kekal ketat berikutan gangguan kapasiti penapisan di Asia Barat serta serangan berterusan terhadap loji penapisan Rusia.
Keadaan itu mengurangkan bekalan petrol, diesel dan produk petroleum lain ke pasaran antarabangsa.
Menurut MOF, harga diesel di pasaran antarabangsa turut meningkat lebih pantas berbanding minyak mentah akibat kekangan kapasiti penapisan dan penyusutan inventori.
“Selepas 193 hari konflik di Asia Barat, aliran petroleum melalui Selat Hormuz dan kapasiti penapisan global masih belum kembali normal.
“Sekiranya keadaan ini berpanjangan, inventori yang semakin menyusut serta bekalan produk petroleum bertapis yang semakin ketat boleh meningkatkan premium risiko terhadap harga petrol dan diesel dunia,” katanya.
Bagaimanapun, harga bahan api bersubsidi untuk penerima yang layak kekal tidak berubah.
Penerima BUDI MADANI RON95 (BUDI95) terus menikmati harga RM1.99 seliter berbanding harga tanpa subsidi RM4.02 seliter.
Ini bermakna kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM2.03 bagi setiap liter, bersamaan kira-kira 50 peratus daripada harga tanpa subsidi.
Penerima BUDI MADANI Diesel pula terus membayar RM2.10 seliter berbanding harga diesel tanpa subsidi RM4.92 seliter, dengan kerajaan menanggung subsidi RM2.82 seliter atau 57 peratus.
Harga petrol di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) kekal RM2.05 seliter, manakala diesel menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dikekalkan pada RM2.15 seliter.
Melalui BUDI95 dan BUDI Diesel, rakyat Malaysia yang layak boleh membeli bahan api bersubsidi menggunakan MyKad, tertakluk kepada had kelayakan bulanan.
Mulai 1 September lalu, had kelayakan asas bulanan bagi BUDI95 dan BUDI Diesel dinaikkan semula kepada 300 liter.
Pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak pula menerima tambahan 100 liter, menjadikan keseluruhan kelayakan sehingga 400 liter sebulan.
MOF berkata, kerajaan akan terus mengambil pendekatan berhemah untuk melindungi rakyat daripada turun naik harga global, selain memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin. – SuaraTV



