KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan menyangkal dakwaan kononnya bertindak zalim dan menyekat perbahasan berhubung soal 3R (raja, agama dan kaum).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sesiapa pun diizinkan untuk membicarakan serta menyatakan ketidakpuasan hati mahupun bantahan berhubung aspek itu.
“(Namun) yang tidak diizinkan ialah hasutan (atau) anjakan ke arah keganasan akan menimbulkan pergaduhan antara kaum.
“Sebab apa pun alasan dan kalau pun saya diserang media antarabangsa, saya tidak akan tolak ansur untuk menjamin keselamatan rakyat dan negara ini,” katanya ketika berucap di Sambutan Jubli Perak Hari Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) ke-25 di KL Sentral pada Isnin.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, sekiranya kecaman dibuat sehingga menjejaskan tonggak Perlembagaan negara ini, maka tentunya tindakan harus diambil.
Menurutnya, perkara itu juga disepakati dalam kalangan parti politik di negara ini.
“Tidak ada parti dalam negara kita yang mempertikai keperluan-keperluan kita untuk tidak menghujat dan menggugat sistem raja di negara kita,” tegas Perdana Menteri.