Akta Pemegang Amanah dipinda elak dana diseleweng

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini telah bersetuju dengan cadangan untuk meminda Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 [Akta 258] dan Akta

Pemegang Amanah 1949 [Akta 208].

Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata, pindaan-pindaan ini adalah bagi mengelakkan penyelewengan dana oleh badan pemegang amanah yang ditubuhkan antaranya bagi tujuan keagamaan, sosial dan kebajikan.

“Pindaan Akta 208 antaranya merangkumi tafsiran berhubung pemunya benefisial iaitu mereka yang mendapat manfaat daripada badan amanah.

“Pindaan Akta 258 antaranya melibatkan penetapan peraturan berkaitan pendedahan maklumat, konflik kepentingan dan sumber dana serta memberi kuasa bagi meningkatkan pemantauan, pengesahan dan
pemeriksaan laporan serta penyeliaan dana,” kata Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, pindaan yang dipersetujui dalam Mesyuarat JKKTN ini adalah selaras dengan usaha kerajaan untuk memperkukuh tatakelola, integriti, dan membanteras rasuah.

“Khususnya dengan memberi perhatian serius terhadap isu melibatkan profesionalisme agensi penguat kuasa yang memberi persepsi negatif terhadap orang awam, di samping isu rasuah yang melibatkan perolehan kerajaan serta penyalahgunaan dana awam terutamanya melibatkan entiti yang menerima dana daripada kerajaan.

“Isu ini bukan sahaja menyebabkan kerugian kewangan, tetapi turut merosakkan kredibiliti tatakelola awam dan integriti institusi kerajaan,” jelas kenyataan itu lagi.

Pada masa sama, mesyuarat turut bersetuju dengan cadangan menggalakkan semua syarikat gred G7 yang mempunyai Sijil Perolehan Kerja Kerajaan (SPKK) untuk mendapatkan pensijilan MS ISO 37001 Anti-Bribery Management System (ABMS), dan akan diberi keutamaan dalam perolehan kerajaan bagi perolehan kerja bernilai RM100 juta ke atas bagi
tempoh dua tahun pertama.

“Inisiatif ini juga menyokong prinsip liabiliti korporat di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009. Kerajaan sekali lagi menegaskan iltizam untuk memperkasa tatakelola dan integriti serta menyokong penuh agenda pembanterasan rasuah nasional.

“Setiap usaha yang diambil akan memastikan tatakelola dan integriti sektor awam terus diperkukuh demi kepentingan negara dan rakyat,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat