PM umum banyak projek pembangunan di Pantai Timur, bukti pembangunan seimbang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk membina jambatan Sungai Golok di Rantau Panjang dan jambatan Takbai ke Pengkalan Kubor di Kelantan sebagai usaha membangunkan bandar-bandar sempadan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dalam Mesyuarat Majlis Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) pada Jumaat, kerajaan juga bersetuju membangunkan Projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) melibatkan jajaran dari Gemuruh, Terengganu ke Pengkalan Kubor di Kelantan iaitu sepanjang 147 kilometer (KM).

Selain itu, katanya kerajaan juga telah bersetuju untuk melebarkan jalan projek Lebuhraya Kuantan-Segamat, Fasa 2 yang melibatkan jajaran dari Runchang ke Simpang 3 Keratong iaitu sepanjang 51 KM.

Bukan cuma itu, Perdana Menteri juga mengumumkan kerajaan telah meluluskan projek tebatan banjir di Rantau Panjang- Golok Fasa 2 dengan kos RM897 juta.

Dalam perkembangan sama yang berkisar tentang pembangunan Wilayah Pantai Timur, Ismail Sabri menyatakan, Kerajaan Persekutuan menerusi ECERDC kan membina Jambatan Palekbang bermula hujung tahun ini.

“Jambatan Palekbang merupakan satu lagi projek strategik ECERDC yang mampu menyelesaikan masalah kesesakan aliran trafik di Kota Bharu.

“Jambatan ini akan menjadi pemangkin utama dalam menjadikan negeri Kelantan sebagai destinasi pelaburan dan pelancongan pilihan di Pantai Timur, seterusnya dijangka dapat menambah baik taraf sosioekonomi rakyat tempatan,” katanya.

Perdana Menteri menegaskan, inilah komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan untuk memastikan pembangunan seimbang dinikmati oleh rakyat Kelantan selaras dengan aspirasi Keluarga Malaysia.

“Saya difahamkan pengambilan tanah untuk pembangunan projek telah hampir selesai dan pelantikan kontraktor untuk pembinaan jambatan tersebut akan dimuktamadkann sebelum akhir tahun ini.

“Jambatan sepanjang 4 kilometer ini juga akan meningkatkan daya tarikan Kampung Laut sebagai destinasi wajib singgah dan akan menyelesaikan masalah aliran trafik di Jajahan Kota Bharu yang sangat meruncing terutamanya semasa musim perayaan dan cuti sekolah,” jelasnya.

Beliau berkata, ECERDC telah berjaya menarik sebanyak RM13 bilion pelaburan komited sehingga 31 Ogos 2022 yang bakal menjana 7,080 peluang pekerjaan dan hampir 300 peluang perniagaan, yang kini menghampiri sasaran pelaburan komited sebanyak RM14 bilion.

“Saya percaya, dengan adanya Pakej Insentif Khas Kelantan dan pembukaan sempadan negara, ECERDC akan dapat menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi ke ECER.

“Saya menghargai usaha penuh ECERDC dalam menerajui inisiatif-inisiatif pemulihan ekonomi negara di ECER, melalui pelaksanaan pelbagai program pembangunan modal insan, projek-projek strategik dan penarikan pelaburan baharu.

“Usaha ini telah berjaya merancakkan lagi kegiatan ekonomi di ECER, dan seterusnya menambah baik kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, program-program pembangunan modal insan yang dilaksanakan di ECER yang mensasarkan golongan B40, penganggur dan masyarakat Orang Asli telah mencatatkan kejayaan yang membanggakan.

“Ini menunjukkan keberkesanan program modal insan ECER yang dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan Petronas dan MyKasih Foundation. Ini adalah selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang inklusif.

“Saya menyokong pelaksanaan program-program modal insan yang telah memberi peluang pendidikan yang lebih baik, peluang keusahawanan dan peningkatan kemahiran dan kebolehpasaran mereka,” ujar Perdana Menteri lagi.

Dalam pada itu, kata beliau mengambil kira perkembangan semasa dan Pelan Induk ECER 2.0 yang akan berakhir pada tahun 2025, ECERDC perlu menjalankan Kajian Pelan Induk ECER 3.0 untuk merangka pelan pelaksanaan sosioekonomi sehingga 2030.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat