BEIJING – China menawarkan bantuan berjumlah 200 juta yuan (RM128 juta) ke Afghanistan termasuk bekalan makanan dan vaksin Covid-19.
Lapor BBC, bantuan itu diumumkan selepas Beijing bersedia menjalinkan hubungan dengan kerajaan Taliban.
China malah menyifatkan penubuhan kerajaan sementara itu adalah ‘langkah yang perlu untuk mententeramkan keadaan’ di Afghanistan.
Menteri Luar China, Wang Yi mengumumkan bantuan untuk Afghanistan itu selepas mengadakan mesyuarat semalam dengan beberapa negara seperti Pakistan, Iran, Tajikistan, Uzbekistan dan Turkmenistan.
Beliau menggesa kesemua negara itu menjalinkan kerjasama dengan Afghanistan kerana China turut berjanji untuk membekalkan sebanyak tiga juta dos vaksin kepada negara terlibat.
China sebelum ini lantang mengutuk tindakan pengunduran tentera Amerika Syarikat dari Afghanistan yang selama ini mendatangkan ‘malapetaka’ di negara bergolak itu. – Utusan