Sidang DUN Johor Dijangka Panas Esok

- Advertisement -

JOHOR BAHRU – Keadaan politik Johor akan terus bergolak selagi parti memerintah tidak mempunyai majoriti selesa di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Penganalisis politik, Dr Md Akbal Abdullah, berkata kelebihan dua kerusi

DUN milik kerajaan Perikatan Nasional (PN) Johor iaitu 29 berbanding pembangkang 27, sangat tipis sekali gus mewujudkan keadaan tidak stabil seperti yang berlaku ketika ini.

Md Akbal yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Sosial, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berkata beliau jangkakan sidang DUN bermula esok dan Ahad ini, juga akan panas apatah lagi apabila ura-ura undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, sudah pun bertiup sejak beliau dilantik ke jawatan itu lagi pada akhir Februari lalu.

“Walaupun suhu panas itu berjaya diturunkan dengan nasihat Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, yang memberi kata dua kepada semua wakil rakyat Johor sama ada teruskan pertelagahan atau DUN akan dibubarkan, pada persidangan DUN selama sehari, Jun lalu, kejutan mungkin berlaku esok berikutan keadaan semasa yang terus bergolak.

“Menjelang sidang DUN Johor esok juga sudah berlaku beberapa episod menarik membabitkan pelbagai isu termasuk membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian selain pembangkang yang dikhabarkan masih dalam perkiraan sama ada mengemukakan undi tidak percaya kepada Hasni atau pun tidak, “katanya ketika dihubungi.

Kedudukan Osman menjadi perhatian kerana beliau sebelum itu dikatakan dipecat dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kerana terbabit dengan kempen calon Bebas ditaja kem Tun Dr Mahathir Mohamad di Pilihan Raya Kecil DUN Slim, Perak.

Bagaimanapun, BERSATU kemudian menafikan pemecatan itu sebaliknya menyatakan Osman hanya disiasat dan belum ada tindakan diambil terhadapnya.

Kerajaan PN kini memiliki 29 kerusi berbanding Pakatan Harapan (PH) 27 kerusi dengan majoriti mudah bagi membentuk Kerajaan Johor ialah 29 kerusi.

Jika Osman ‘beralih arah’ atau berhenti penyokong PN, DUN Johor akan tergantung.

Pecahan 29 kerusi PN iaitu 14 dimiliki UMNO, BERSATU (12), dua MIC dan satu PAS, manakala blok PH disumbang 14 kerusi melalui DAP, sembilan milik Parti Amanah Negara (AMANAH) dan empat PKR.

“Keadaan sidang esok mungkin juga aman berikutan ADUN mematuhi titah Sultan Johor selain bangsa Johor sendiri yang terkenal sebagai amat tertib dan saling bermuafakat terhadap titah Sultan.

“Namun, jika diambil kira situasi politik semasa, mungkin ada insiden menarik yang dapat kita saksikan.

“Jika undi tidak percaya dikemukakan pembangkang, ia sebenarnya bukanlah satu kejutan sebenarnya malah saya pasti, PN sudah sedia maklum dan meneliti semua kemungkinan yang bakal berlaku,” katanya.

Md Akbal berkata, beliau juga tidak akan terkejut jika polemik politik yang tidak berkesudahan di Johor itu akan diakhiri dengan pembubaran DUN sama ada ketika sidang dewan atau pun selepas sidang berakhir nanti.

Namun, katanya semuanya terpulang kepada kebijaksanaan Hasni selaku Menteri Besar yang akan memberi nasihat kepada Sultan Johor.

Katanya, keadaan politik Johor yang tidak stabil berlaku sejak jatuhnya kerajaan Barisan Nasional (BN) Johor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang menyaksikan PH merampas negeri itu, sebelum PN berjaya menubuhkan kerajaan dalam tempoh kurang dua tahun.

“Kini selepas dua tahun PRU-14 dengan dua kerajaan berubah tangan dan tiga Menteri Besar dalam tempoh berkenaan, keadaan politik Johor terus panas dan tiada tanda pergolakan yang berlaku akan tamat,” katanya. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat