Peningkatan Kes Covid-19 Dikalangan Petugas Kesihatan Membimbangkan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Terdapat peningkatan kes positif Covid-19 dalam kalangan petugas barisan hadapan terutamanya petugas kesihatan dari sektor awam dan swasta.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, keadaan ini adalah membimbangkan kerana mereka memainkan peranan penting sebagai tulang belakang sistem kesihatan negara.

Katanya, hasil siasatan mendapati bahawa kes positif Covid-19 dalam kalangan petugas kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berpunca daripada penularan di kalangan mereka sendiri.

“Ini menyumbang sebanyak 53 peratus daripada keseluruhan kes yang melibatkan petugas kesihatan, bermakna lebih separuh daripada petugas kesihatan yang dijangkiti Covid-19 telah berjangkit daripada petugas kesihatan lain.

“Jangkitan daripada komuniti adalah sebanyak 22 peratus, manakala jangkitan semasa pengurusan pesakit yang belum diketahui status Covid-19 pula adalah sebanyak 17 peratus.

“Setakat ini, tiada petugas kesihatan KKM yang dijangkiti Covid-19 semasa pengurusan pesakit disahkan Covid-19 di wad Covid-19 atau di Unit Rawatan Rapi (ICU),’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, adalah amat penting bagi petugas kesihatan memastikan langkah-langkah pencegahan jangkitan Covid-19 diambil pada setiap masa, terutamanya semasa bertugas.

Tambah beliau, penjarakan fizikal yang selamat di tempat bertugas iaitu di kalangan rakan sekerja dan semasa pengurusan pesakit sewajarnya diamalkan sepanjang waktu bekerja.

Ujarnya, kebersihan kawasan guna sama seperti kaunter jururawat, tempat makan, pantri, ruang solat dan tandas kakitangan perlu dijaga.

“Seperti yang sering ditekankan juga, KKM ingin mengingatkan semua petugas kesihatan KKM yang bertugas di hospital mahupun Klinik Kesihatan agar memakai alat pelitup muka jenis 3-ply sepanjang waktu bekerja.

“Petugas kesihatan juga perlu mengamalkan kebersihan tangan (hand hygiene), etika batuk (cough etiquette) dan memakai alat pelindung diri (Personal Protective Equipment, PPE) yang bersesuaian mengikut keperluan semasa menjalankan tugas,” katanya.

Dalam perkara sama, beliau turut mengingatkan pengamal perubatan swasta supaya menggunakan Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) yang sesuai apabila menjalankan sebarang prosedur klinikal dan bagi kes yang disahkan positif Covid-19. – MalaysiaGazette

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat