KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan memperuntukkan RM303 juta untuk memperkukuhkan fasiliti Tentera Darat Malaysia (TDM) di Sarawak, kata Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Khaled berkata peruntukan itu antara lain akan digunakan untuk projek pembinaan kem TDM.
“Jumlah itu (RM303 juta) tidak termasuk peruntukan perolehan peralatan untuk TDM di Sarawak yang bernilai RM70 juta,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Kem Penrissen di Kuching, pada Khamis.
Beliau berkata Kementerian Pertahanan juga sedang membina beberapa pos kawalan di sempadan Sarawak-Kalimantan.
“Sekarang ini kita dah ada 17 pos sempadan di Sarawak. Kita sedang bina beberapa pos baharu dan setelah siap nanti Sarawak bakal ada 23 pos kawalan,” katanya.
Menurut Menteri Pertahanan itu lagi, selain daripada ancaman bersifat tradisional seperti peperangan, ancaman bukan tradisional juga diberikan penekanan oleh kerajaan dan Kementerian Pertahanan.
“Ini termasuklah dalam isu-isu keselamatan seperti aktiviti jenayah lintas sempadan, kemasukan pendatang asing tanpa izin dan penyeludupan. Ancaman seperti ini menjejaskan kestabilan, kepentingan ekonomi dan kemakmuran negara.
“Di Sarawak sahaja, kita mempunyai 17 pos kawalan yang beroperasi sepanjang masa, di samping pembinaan beberapa pos baharu di lokasi strategik bagi memastikan kita dapat menangkis sebarang ancaman seperti ini,” ujar beliau.
Kata Khaled, beliau mengadakan lawatan ke salah satu pos kawalan kita di Serikin bagi meninjau gerak kerja kawalan sempadan Malaysia-Indonesia.
“Pos ini dikawal secara gabungan bersama beberapa Tentara Nasional Indonesia (TNI). Pada masa yang sama, kita turut menempatkan anggota kita di pos kawalan TNI di dalam sempadan Indonesia.
“Semasa lawatan, saya turut berpeluang menyampaikan sedikit sumbangan Yayasan LTAT – YLTAT bagi pembelian peralatan sukan untuk kegunaan anggota kita di pos-pos operasi dalam Kawasan Tanggungjawab (KTJ) Op Awas/Keris Parang,” katanya.
Beliau berkata kementeriannya serta kerajaan Sarawak juga telah bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa kerja bagi memastikan semua projek Kementerian Pertahanan di negeri itu berjalan lancar.
“Ini adalah komitmen kita bagi memperkasakan pertahanan di Sarawak, jawatankuasa ini diharap dapat mengatasi sebarang cabaran berkaitan pembinaan projek pertahanan di negeri ini,” katanya.
Sementara itu, mengenai pembinaan Markas Wilayah Laut 4 (MAWILLA 4) di Bintulu, Mohamed Khaled berkata projek itu masih di peringkat penyelesaian isu tanah.
“Peruntukan tahun ini untuk pembayaran duit premium (tanah) MAWILLA 4 sudah ada. Selepas selesai soal pembelian tanah nanti kita akan kemukakan kepada kerajaan Persekutuan bagi pembinaan dan kosnya juga akan ditentukan kemudian,” katanya.