WASHINGTON – Dua angkasawan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) yang terkandas di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) berkemungkinan tidak akan kembali ke Bumi sehingga Februari 2025, lapor akhbar The Sun UK kelmarin.
Suni Williams dan Butch Wilmore terkandas selepas kapal angkasa keluaran Boeing, Starliner yang mereka naiki menuju ke ISS rosak lebih dua bulan lalu.
Kakitangan di Bumi bergelut untuk menyelesaikan isu tersebut. Bagaimanapun, pendedahan semalam menyatakan bahawa mereka mungkin tidak dapat pulang sehingga Februari tahun depan.
NASA berkongsi pelan kecemasan untuk menghantar dua angkasawan dalam misi syarikat aeroangkasa SpaceX, Crew-9 pada September ini. Namun, ia tidak akan membawa pulang dua angkasawan tersebut sehingga beberapa bulan kemudian.
Williams dan Wilmore pada asalnya dijadualkan pulang ke Bumi pada 13 Jun lalu. Mereka sepatutnya menghabiskan masa tidak lebih seminggu di ISS.
Namun, kapal angkasa Starliner berdepan pelbagai masalah semasa penerbangan selama 25 jam itu. Rentetan itu, misi mereka telah dilanjutkan selama dua minggu lagi.
Bagaimanapun, kedua-dua angkasawan tersebut telah berada di angkasa lepas selama 63 hari kerana kapal angkasa Starliner dilanda masalah kegagalan pendorong dan kebocoran gas helium.
Masalah itu memaksa mereka berada di orbit lebih lama kerana bimbang perjalanan pulang ke bumi dengan menaiki kapal angkasa sama akan berakhir dengan bencana. – AGENSI