PT3 Diganti Dengan Ujian Akhir Sesi Akademik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Susulan pemansuhan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) mulai tahun 2022, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi tumpuan kepada pemerkasaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Radzi Jidin berkata, KPM sentiasa melaksanakan penambahbaikan kepada sistem pentaksiran dan penilaian murid seiring dengan keperluan semasa.

” Dalam Sistem Pentaksiran Kebangsaan, murid ditaksir melalui Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Peperiksaan Pusat. PBS ini melibatkan
komponen Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PPsi).

“PBS telah diperkenalkan lebih 10 tahun yang lalu, iaitu mulai tahun 2011 di peringkat sekolah rendah dan tahun 2012 di peringkat sekolah menengah.

“Pentaksiran ini bertujuan untuk menilai aspek intelek, emosi, rohani, jasmani dan sosial selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan,” kata Radzi dalam soal jawab lisan di Dewan Negara pada Selasa.

Menurut beliau, dalam konteks PBD, guru memantau perkembangan, kemajuan dan penguasaan setiap murid sepanjang proses pembelajaran.
Radzi memaklumkan, PBD melibatkan proses mengumpul dan menganalisis maklumat serta membuat refleksi yang berterusan terhadap PdP dalam membuat pertimbangan secara konsisten ke arah menambah baik PdP tersebut.

“Dengan ini, guru boleh merancang dan mengubah suai kaedah PdP bagi membantu setiap murid meningkatkan tahap penguasaan pembelajaran mereka.

“Pelaksanaan PBD secara berterusan dapat mempersiapkan murid dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai sebagai asas yang kukuh untuk mengikuti pembelajaran di peringkat seterusnya.

“Antara pendekatan dalam pengukuhan PBD bagi murid Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 mulai tahun 2022 adalah dengan menambah baik
pengurusan ujian akhir sesi akademik melalui penyediaan soalan yang setara standardnya oleh KPM. Soalan tersebut disediakan oleh guru yang
berkepakaran dalam pembinaan item dan disimpan dalam sistem bank soalan yang dibangunkan oleh KPM,” katanya lagi.

Jelas Radzi, untuk tujuan pelaksanaan ujian akhir sesi akademik, pihak sekolah akan menjana set soalan daripada sistem tersebut dan ditadbir di sekolah seperti mana ujian akhir tahun sebelum ini.

“Panduan penskoran juga akan disediakan untuk kemudahan guru. Penambahbaikan kepada ujian akhir sesi akademik ini adalah bagi membolehkan guru dan ibu bapa bersama-sama membantu membangunkan potensi murid bermula daripada peringkat sekolah rendah.

“Dalam mencapai hasrat ini, pelaporan ujian akhir sesi akademik akan digunakan untuk membolehkan intervensi awal dilakukan bagi
mengoptimumkan potensi murid. Pelaporan ini bukan untuk tujuan perbandingan pencapaian antara murid atau sekolah,” katanya.

Beliau malah menegaskan, kejayaan dan kemenjadian murid haruslah dilihat secara holistik dan bukan semata-mata berdasarkan prestasi dalam bidang akademik sahaja.

Justeru katanya, pentaksiran melalui PAJSK dan PPsi juga diperkukuh bagi menilai perkembangan murid dalam aspek sukan, kokurikulum, nilai murni, minat dan kecenderungan serta pembentukan sahsiah.

“KPM juga akan menambah baik dan memantapkan kaedah pelaporan PBD. Melalui kaedah ini, pencapaian murid dilaporkan secara menyeluruh
sebanyak dua kali setahun iaitu pada pertengahan sesi akademik dan akhir sesi akademik dengan menggunakan deskriptor tahap penguasaan yang komprehensif dan jelas.

” Pelaporan ini juga menilai tahap usaha murid dalam pembelajaran. Di samping itu, guru kelas dan guru mata pelajaran akan memberi ulasan dan cadangan intervensi bagi mengoptimumkan potensi murid,” kata beliau.

Selain daripada pelaporan PBD,Radzi menambah laporan akhir sesi akademik akan turut disertakan dengan pelaporan PAJSK dan PPsi. Secara keseluruhan, penambahbaikan pelaporan PBS dapat memberi gambaran mengenai kemenjadian murid secara menyeluruh, komprehensif dan bermakna.

“Pemerkasaan PBS merupakan antara pendekatan KPM untuk beralih daripada pembelajaran berorientasi peperiksaan kepada pembelajaran yang
lebih menyeronokkan untuk murid.

“Selain itu, KPM juga mempergiatkan program latihan untuk pentadbir dan guru bagi meningkatkan kemahiran serta memantapkan pelaksanaan
pentaksiran berterusan di sekolah.

“Guru juga akan terus dilatih untuk meningkatkan inovasi dan kreativiti dalam PdP, termasuk penggunaan teknologi digital.

“KPM yakin pelaksanaan libat urus dan pelbagai program latihan secara berterusan, serta penyediaan garis panduan pelaksanaan pentaksiran berupaya meningkatkan kesediaan guru dan pihak sekolah untuk melaksanakan PdP dan pentaksiran murid,” jelas Radzi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat